Presiden Amanah Mohamad Sabu mempersoalkan sikap rakyat termasuk warga Felda yang takut melihat perubahan termasuk kemahuan untuk menukar kerajaan.
Katanya, walaupun kerajaan dibelenggu dakwaan masalah integriti tetapi mereka tetap mahu kerajaan diperintah Barisan Nasional (BN).
“Di Malaysia ini nak tukar kerajaan macam nak kiamat….ini pemikiran kuno,” katanya di Konvensyen Warga Felda di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, semalam.
“Masalah di Malaysia adalah integriti…jika diselidik, banyak badan agensi melakukan masalah ini termasuklah Felda,” katanya, dan menambah langkah membetulkan urus tadbir negara perlu diambil pada pilihan raya akan datang.
Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan 5 individu termasuk 2 bekas pegawai kanan Felda bagi kes penyelewengan projek ternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta.
“Pandangan saya, kita perlu tukar pemerintah untuk selamatkan peneroka Felda,” katanya.
Sementara itu, dalam pentas yang sama, Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menolak budaya kleptokrasi yang dilihat kian menular.
Kleptokrasi gabungan perkataan Yunani iaitu ‘kleptes’ (pencuri) dan ‘kratos’ (kuasa), yang membawa erti pemerintahkan oleh pemerintah korup.
Katanya, sudah tiba masanya untuk kembalikan dasar negara kepada nilai asal.
“Ada dasar baik dan ada yang tidak baik. Dasar yang baik kita teruskan, manakala yang tidak baik kita akan hentikan…bukan sahaja dalam dalam Felda, tapi semua aspek dalam negara.
“Oleh kerana budaya kleptokrasi ini wujud, kita perlu basmikan budaya ini. Kita perlu mula semula supaya kita lebih baik,” katanya. FMT