Pakatan Harapan (PH) hari ini menawarkan 5 resolusi kepada warga Felda, yang secara umumnya menyentuh tadbir urus Felda dan pendayaan para peneroka.
Matlamat utama resolusi ini, umum Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli selaku wakil PH, untuk mengembalikan Felda ke hala tuju asal penubuhannya.
Resolusi pertama yang diutarakan adalah mengukuhkan pengurusan dan tatakelola Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan itu, antaranya melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat keseluruhan kerugian Felda ketika ia diketuai Tan Sri Isa Samad, bagi membuka laluan kepada pendakwaan salah guna kuasa dan ketirisan.
PH juga mahu membatalkan semua transaksi kontroversi termasuk membatalkan pelaburan dalam PT Eagle High Plan dan pinjaman wang dari Putra Star Investment.
“Kita juga akan mengkaji manfaat dan risiko mengembalikan kawalan majoriti Felda Holdings Berhad dari FGV kepada Koperasi Permodalan Felda,” katanya dalam Konvensyen Warga Felda, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
Resolusi ke-2 yang ditekankan adalah meringankan beban hutang dan kos sara hidup warga Felda, seperti meningkatkan wang sara hidup sehingga MR2000 bagi menampung kos tanaman peneroka sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil, dan pembayaran semula wang tersebut dengan potongan minima RM800 sebulan sehingga selesai tanpa faedah.
“Selain itu, akan menubuhkan satu agensi pemantauan yang tidak berat sebelah untuk menyemak semula apa-apa aduan berkaitan Oil Extraction Rate (OER) supaya ia dinilai dengan telus dan peneroka akan dapat harga setimpal,” katanya.
Resolusi ke-3 mengenai mewujudkan mekanisme perkongsian tanah warisan.
“Ekoran anak waris (peneroka yang meninggal) dan Felda akan membuat Kontrak Perkongsian Pengeluaran, tanah tersebut akan diurus oleh Felda dan pendapatan akan dibahagikan.
“10% daripada pendapatan Felda akan dibayar sebagai bayaran loyalti kepada anak waris. Kemudian, baki pendapatan dibayar kepada Felda untuk menampung kos operasi.
“Jika terdapat keuntungan ia akan dikongsi bersama antara Felda dengan waris berdasarkan saiz tanah warisan,” katanya.
Resolusi ke-4 mengenai membangunkan bandar baru Felda di seluruh negara, melibatkan penggunaan sebahagian keuntungan lembaga untuk membina pangsapuri buat generasi ke-2 dan ke-3, mewujudkan pusat perniagaan dan meluaskan liputan internet ke seluruh kawasan Felda.
“Disamping itu, meningkatkan hubungan pengangkutan, meningkatkan infrastruktur awam dan menarik pelancong dari luar dan dalam negara untuk melawat kawasan Felda,” katanya.
Resolusi ke-5 pula mengumumkan penubuhan universiti kemahiran dan teknologi berkaitan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda Felda.
“Satu kajian mendapati lebih 95% daripada generasi ke-2 Felda gagal melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi, walaupun 80% ingin melanjutkan pelajaran.
“Penubuhan universiti ini akan memberi tumpuan kepada bidang berkaitan dengan industri kelapa sawit, seperti kejuruteraan mekanikal, pertanian, bio-teknologi dan perniagaan,” katanya. FMT