Pas menyasarkan Selangor sebagai salah satu daripada lima negeri yang mahu ditawan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Bercakap kepada Sinar Harian, Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, walaupun matlamat besar parti itu untuk menawan seluruh negara, Pas perlu meletakkan sasaran yang realistik berdasarkan kemampuan parti termasuk jentera yang ada.
“Kita melihat lima negeri termasuk Selangor sebagai sasaran. Yang ada sekarang adalah hasil daripada PRU13 yang mana kita bersetuju PKR memimpin.
“Sekarang sudah berbeza dan tidak sama dengan PRU13, kita buat sasaran kita,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyebut hasrat Pas memimpin Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor, manakala yang lain terserah kepada Umno.
Nik Abduh yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata, sekiranya trend keputusan itu sama seperti PRU13, pintu rundingan dengan mana-mana pihak masih boleh dibuka.
Nik Abduh menafikan sasaran yang dibuat hasil pakatan dengan Umno sebaliknya dilakukan berdasarkan kemampuan Pas.
“Ini sasaran kita bersama yang dibuat Pas Pusat, (dipersetujui) di semua peringkat. Kita mahu lebih banyak kerusi.
“Yang Tok Guru (Abdul Hadi) sebut negeri Umno dah perintah, makna kekal, bukan bermakna ada satu pakatan, sekiranya Pakatan Harapan nak, dia kena usaha sendiri,” katanya. MD