PKR yakin Pakatan Harapan (PH) semakin kuat dan diyakini rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Timbalan presiden PKR itu berkata, PKR sentiasa sikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana individu dan parti yang mahukan perubahan buat negara dan rakyat.
“(Penyertaan PPBM dalam PH) ini harus dilihat secara positif apabila PPBM mengambil keputusan menyertai PH membuktikan PH pada hari ini satu platform yang kuat dan diyakini rakyat.
“Maka, untuk hadapi PRU14 ini, kita perlu menggembleng seluruh tenaga dan pemikiran yang ada di kalangan parti progresif yang mahukan perubahan,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Rumah Selangorku di Putra Height hari ini.
Semalam, PPBM menjadi ahli terbaru PH selepas Majlis Gabungan Presiden sebulat suara menerima permohonan parti baru itu untuk menjadi ahli PH.
Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata, soal 1 logo, nama dan manifesto PH sudah diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang dibentuk bagi meneliti cadangan itu dan ia akan ditentukan Majlis Presiden minggu depan.
“Ini sedang dibincangkan di peringkat sekretariat, ada konsensus pimpinan PH dan PPBM untuk wujudkan 1 logo dan 1 manifesto menjelang PRU14.
“Kita sudah serahkan kepada jawatankuasa yang dibentuk untuk meneliti perkara ini secara teliti dan akan kembali semula kepada Majlis Presiden untuk keputusan yang akan diambil.
“Saya ingat dalam masa terdekat sebab Majlis Presiden akan bersidang semula pada minggu depan yang turut dianggotai PPBM,” katanya sambil menambah penyertaan PPBM dalam Majlis Presiden menunjukkan PH bertindak pantas bagi menghadapi PRU14. FMT