”Ini bukanlah PRK pertama kali. Malah sudah 14 kali PRK dijalankan dan PRK Tenang ialah PRK yang ke-15 sejak 2008. Daripada PRK yang telah kita lalui, banyak peristiwa dan perkara yang kita tempuhi dan pelajari”.
Beliau menyifatkan PRK Tenang sebagai PRK yang paling kotor kerana Umno/BN sanggup melakukan pembohongan yang besar kepada rakyat terutamanya kaum Melayu mengenai isu kenaikan harga barang, rasuah, penyalahgunaan kuasa, melelongkan tanah orang Melayu dan sebagainya. Wan Hasrina menyifatkan SPR sebagai tali barut kepada Umno/BN.
“Setiap kali berlakunya PRK atau pun PRU, kita dapat mengesan ada kemasukkan nama-nama pengundi baru yang tidak diketahui asal-usulnya (pengundi hantu) dalam daftar pemilih, kehilangan nama pengundi dari daftar pemilih sedangkan sebelum ini mereka pernah mengundi semasa PRU 12 dan pilihanraya-pilihanraya sebelumnya, pengundi dipindahkan tempat mengundi dan sebagainya.
“Ini dapat dibuktikan daripada rekod yang disemak oleh petugas parti serta aduan yang diterima daripada pengundi yang menyatakan bahawa nama mereka telah hilang daripada daftar pemilih dan ada juga pengundi yang mengadu bahawa nama mereka telah dipindahkan ke tempat lain,” ujarnya.
Menurut Norazlin Md Samsudin, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor beliau menerima aduan dari seorang pengundi Soh Bock Leng yang memberitahu, namanya dipindahkan tanpa persetujuan.
”Saya benar-benar tidak faham mengapa nama saya tiada dalam rekod semakan Daftar Pemilih untuk megundi di Kawasan Labis. Sedangkan saya menetap di sini. Saya benar-benar rasa terkilan kerana tidak dapat menjalankan tanggungjawab saya sebagai rakyat malaysia untuk mengundi di labis baru-baru ini. Kita harap pihak SPR haruslah menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan telus,” katanya.
Pengundi lain yang namanya juga telah dipindahkan ialah Anthoniama a/p Ellis. Beliau melahirkan rasa tidak puas hati kerana tidak dapat mengundi di Labis. Sebelum ini beliau telah 10 tahun mengundi di sini tetapi telah ditukarkan ke Dun Bekok, Segamat. Beliau bimbang dengan usianya yang semakin lanjut dan uzur dan mungkin tidak mampu untuk keluar mengundi di kawasan yang begitu jauh pada PRU akan datang.
Norazlin juga menyatakan bahawa di antara masalah dan kekeliruan yang dihadapi oleh petugas di sepanjang menjalankan gerak kerja mencula undi, ialah terdapat ramai pengundi di dalam sesebuah rumah. Ada yang 7 orang, ada yang 20 orang dan ada juga rumah yang mempunyai pengundi yang pelbagai agama dan bangsa. Ada juga nama pengundi yang tidak dikenali oleh tuan rumah. Di samping itu, terdapat juga nama lokaliti dalam senarai SPR tidak ditemui seperti Jln Maluri, Taman Mewah dan Jalan Perwira 1, Jalan Perwira 2 dan Jalan Perwia 4, Taman Mewah dan Jalan Merpati Taman Sri Jaya. Papan tanda jalan juga telah banyak diubah seperti Jalan Raja Udang telah diubah kepada Jln Udang Taman Orkid.
Selain daripada itu, petugas-petugas PAS juga telah diberitahu oleh pengundi bahawa mereka telah diugut dan disogok dengan wang. Pengundi kaum Cina yang ditemui menyatakan mereka telah disogok sebanyak RM 200 dan di Kg. Paya Merah pula mereka telah disogok sebanyak RM 100.
Penduduk di sini juga diminta memasang bendera Umno/BN dan mereka dibayar RM100-RM200 sebuah rumah. Tujuannya agar petugas PR tidak memasuki kawasan tersebut. Malah ada juga pengundi yang tidak sedar bilakah rumah mereka dipasang bendera Umno/BN. Apabila bangun pagi seluruh kawasan rumah dipenuhi dengan bendera. Didapati ada pemberian duit dan dimasukkan di bawah pintu rumah pengundi.
Wan Hasrina menyifatkan tindakan Umno/BN dengan membuat kerja-kerja kotor setiap berlakunya PRK sebagai takut menghadapi kekalahan dan mengelak rakyat Malaysia tahu parti tersebut telah ditolak mentah-mentah dalam PRK. .
”Mereka sanggup buat apa sahaja untuk mendaparkan kekuasaan, seperti apa yang telah berlaku di Perak (rampasan kuasa) dan mereka juga mungkin mengharapkan peristiwa yang sama berlaku di Selangor”.
“Oleh itu, bagi saya dan semua jentera PR tidak merasa kemenangan yang diperolehi oleh Umno/BN pada PRK sejak kebelakangan ini sebagai satu penerimaan rakyat. Sebenarnya rakyat semakin bijak menilai berikutan dengan berbagai kezaliman yang telah dilakukan oleh Umno/BN. InsyaAllah, rakyat akan menjadi hakim dalam PRU 13 nanti lantaran terlalu banyak kezaliman serta keburukkan yang telah dilakukan oleh Umno/BN,” jelasnya.
Wan Hasrina menyambung ”Malaysiakini telah melaporkan jumlah pengundi yang telah keluar mengundi pada jam 10 pagi melebihi 61% sedangkan pada ketika itu pengundi baru keluar sekitar 20%, ini adalah kerana pengundi begitu sukar untuk keluar mengundi akibat banjir kilat yang berlaku. Namun, pada sebelah petangnya pengundi tetap keluar mengundi apabila dijemput oleh petugas-petugas kita”, katanya