Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) belum mahu menubuhkan cawangan di Sabah dan Sarawak walaupun berhasrat menjadi sebuah “parti nasional”.
Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka mahu menumpukan perhatian membina kekuatan di Malaysia Barat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.
“Peringkat pertama tak tubuh cawangan lagi walau ada rakan seperjuangan di sana,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.
“Struktur parti belum (ditubuhkan di sana) untuk bagi banyak masa untuk gerak di Semenanjung dan untuk fokus lawan di Parlimen di sini.”
Ditanya mengenai tempoh masa pembentukan cawangan di Malaysia Timur, Muhyiddin berkata ia hanya akan dilakukan “apabila tiba masanya”.
“Kita akan melihat perkembangan masa depan sama jika tiba masanya untuk kembangkan sayap. Tak nak terlalu ghairah.”
Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum itu mengumumkan nama ketua PPBM di 9 negeri. Bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan memimpin Kedah, dibantu Mejar (B) Anuar Abdul Hamid.
Kepimpinan PPBM bagi negeri Sembilan, Perlis dan Wilayah Persekutuan belum lagi dipilih.
Menurut Muhyiddin, PPBM akan menyiapkan pembentukan 165 bahagian di Malaysia Barat pada 14 April. Setiap bahagian akan mengukuhkan jentara pilihan raya dan merekrut ahli baharu.
Minggu lepas, PPBM secara rasmi diterima masuk Pakatan Harapan sebagai komponen ke-4.
Ia turut mencadangkan pakatan persekutuan itu menukar namanya dan bertanding di bawah 1 logo dan manifesto bersama.
PH dalam usaha mendaftarkan pakatan mereka secara rasmi sebelum PRU14. FMT