Penguna bahan api meramalkan harga minyak RON95 akan turun sebanyak 10 sen hingga 15 sen pada 29 Mac 2017 kerana harga minyak mentah di pasaran dunia telah turun daripada lebih AS$55 kepada sekitar AS$51.33 sepanjang awal hingga pertengahan Mac.
Namun demikian, banyak pemerhati ekonomi berkata harga tidak akan turun kerana faktor “kedudukan kewangan negara yang kurang memuaskan”.
Seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Othman, 50 tahun berkata, kerajaan BN tidak mampu menurunkan harga minyak kerana keadaan kewangan negara yang semakin buruk.
“Walaupun pilihan raya umum sudah dekat, kerajaan masih tidak mampu turunkan harga minyak dan ini menunjukkan situasi kewangan negara kita sudah agak parah.
“Ini disebabkan oleh perbelanjaan boros yang dilakukan oleh pentadbiran BN dan pelaburan yang tidak cermat dalam isu 1MDB yang telah mengakibatkan pelbagai masalah termasuk imej Malaysia yang terjejas teruk,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Seorang lagi, pemandu teksi, Albert Chan, 65 tahun, berpendapat rakyat harus ubah kerajaan dengan memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya mahu harga minyak diturunkan.
“Saya yakin kerajaan PH dapat menurunkan harga minyak kepada sekurang-kurangnya RM1.20 seliter kerana mereka telah menjanjikan harga minyak pada RM1 seliter kalau dapat mandat dari rakyat untuk menerajui kerajaan pusat.
“Selepas 60 tahun dengan kerajaan BN, rakyat wajar tukar selera dan tengok prestasi PH sebagai kerajaan pusat untuk sekurang-kurangnya 15 tahun,” kata Albert.
Kedua-dua pemandu teksi ini memberitahu mereka juga memantau graf harga minyak di pasaran dunia dan melihat penurunan yang ketara untuk bulan Mac ini.
Oleh itu, kata mereka, harga minyak perlu diturunkan pada April. Jika ianya tidak berlaku, maka ekonomi negara “sudah tenat”.