ULASAN: Kenyataan PM Najib Razak selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi umpama keris menusuk ke jantung pemimpin Pas. Tiba-tiba Najib yang dianggap sesetengah ustaz muda Pas sebagai pemimpin yang akan memberi mereka kemenangan di dunia dan akhirat dengan memberi lampu hijau Hudud dilaksanakan di Kelantan melalui RUU 355, berpaling arah.
Najib yang ditentang oleh ahli-ahli parlimen Malaysia Timur dan MCA serta MIC sejak sekian lama berkata BN tidak akan mengambil alih membentangkan RUU 355. Rakyat maklum RUU ini memerlukan kerajaan BN membentangkannya semula di Dewan Rakyat sebelum rasmi sebagai undang-undang.
Lebih menusuk ke kalbu pemimpin Pas, tentulah kenyataan Najib bahawa nasib RUU itu terletak di tangan Speaker Pandikar Amin Mulia dalam memberi giliran perbahasan.
Kenyataan itu tidak bertanggungjawab sama sekali. Speaker mungkin tidak langsung memberi laluan kepada RUU 355 tanpa sokongan pemimpin tertinggi Umno. Kenyataan ini tidak memperlihatkan Najib adalah sahabat setia Pas. Juga tidak memandang sedikit pun pengorbanan yang dilakukan oleh ustaz muda dan ustaz tua dalam Pas.
Pas puji Umno
Adakah Najib tidak perasan selama ini pemimpin Pas bermati-matian memuji Umno. Pas sanggup memutuskan hubungan dengan DAP dan meghancurkan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 hanya semata-mata janji BN pada Februari tahun itu bahawa RUU 355 boleh dibentangkan dalam sesi parlimen Mac dan seterusnya.
Kemudian pemimpin utama Pas Hj Hadi dalam dua kali usul sepanjang 2016 membuat kejutan membacakan usul tetapi mohon ditangguhkan perbahasan sehingga menibulkan keberangan ahli-ahli parlimen pembangkang yang mahu RUU itu didebatkan. Sepanjang tempoh itu ustaz-ustaz Pas menghentam saudara mereka, puak profesional sebagai alat DAP.
Pas berpecah dua. Puak yang menyertai Gerakan Harapan Baharu dan kemudiannya Parti Amanah Negara (Amanah) dilabel sebagai munafik haraki. Tidak cukup itu, presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail yang lebih cenderung kepada maqasid syar’iyah dan mengutamakan pertukaran rejim BN yang zalim terlebih dahulu daripada RUU dihentam ke tahap jenazahnya perlu ditanam di jirat Cina.
Setelah perpecahan amat dahsyat dan ustaz Pas memberitahu kepada para penyokong mereka, lebih baik bersama Melayu Islam Umno daripada kafir harbi DAP, tiba-tiba Najib dengan kejam menolak mentah-mentah menyokong RUU 355. Penolakan Najib ini diibaratkan senasib dengan pengundi setia Umno yang selepas pilihan raya dihalau dari tanah mereka, sedangkan waktu berkempen dijanjikan geran tanah.
Bagi Dewan Pemuda Pas dan Pas Kawasan yang memutuskan hubungan dengan PKR baru-baru ini, di manakah mereka mahu meletakkan muka kerana alasan utama putus hubungan itu antara lain kerana PKR tidak menyokong RUU dan pro DAP. Terbukti hari ini Najib yang pro RUU mengkhianati Pas.
Hari Raya bagi Amanah
Tanggal 30 Mac 2017 adalah detik keramat kepada Amanah. Hari ini seumpama 1 Syawal bagi pemimpin parti itu. Setelah hampir genap dua dua tahun dicaci dan dikeji oleh pemimpin dan penyokong Pas yang mahu menuju ke puncak bersama Umno, hari ini terbukti kata-kata mereka ketika masih di dalam Pas dahulu benar.
Puak profesional Pas berkali-kali mengingatkan, untuk melaksanakan Hudud perlukan kuasa persekutuan. Tanpa kuasa itu jangan mimpi Hudud boleh dikuatkuasakan kerana undang-undang persekutuan belum dipinda dan BN tidak akan melakukannya. Namun ustaz muda Pas mersakan diri mereka lebih bijak dan menemukan jalan pintas untuk memujuk Umno.
Hujah kuasa persekutuan juga digunakan oleh bekas presiden Pas Fadzil Noor dan bekas Mursyidul Am Pas Nik Aziz Nik Mat. Kedua-dua tokoh ini sering mengambil semangat perjanjian Hudaibiyah antara nabi Muhammad s.a.w dan puak Quraisy bagi menguatkan tentera Islam sebelum membuka kota Mekah beberapa tahun selepasnya.
Di atas strategi itu, Fadzil dan Nik Aziz bersetuju bersekutu dengan DAP. Terbukti pada Februari dan Mac 2015, apabila Pas berkeras untuk membentangkan RUU 355 dan mahu menukar sokongan kepada BN, beberapa pemimpin DAP juga menyuarakan hal yang sama; iaitu dapatkan kuasa persekutuan dahulu kerana berdasarkan keputusan PRU 13 pembangkang hanya perlukan 5% sahaja undi popular untuk menewaskan BN.
Hari ini ‘nasi sudah menjadi bubur’ kepada Pas. Mereka terlanjur amat jauh dibuai janji Najib dan Umno. Walaupun banyak yang akan berbahas Najib ditekan oleh ahli parlimen Malaysia Timur yang mungkin mahu menukar sokongan kepada Tun Mahathir sekiranya Najib berkeras meneruskan RUU 355 tetapi bukankah sandiwara yang ditunjukkan sepanjang dua tahun ini menyebabkan Pas berpecah dan ditinggalkan para penyokongnya?
Hilang kata-kata
Pas tiada alasan lagi untuk mencaci penyokong yang menyeberang ke Amanah. Malah inilah masa Amanah mengembalikan ‘paku buah keras’ kepada Pas. Atau mungkin puak profesional yang masih bersisa dalam Pas akan melancarkan gerakan menamatkan kepimpinan ulama pro Umno sebagaimana mereka lakukan kepada Presiden Pas Asri Muda dahulu, hanya masa yang akan menentukan.
Walau apa pun hujah Pas ternyata Najib telah berkhianat. Master Mind Umno memang merancang untuk memecah belahkan pembangkang menggunakan isu Hudud. Dan terbukti mereka sangat berjaya. Najib mungkin melakukan pengkhianatan ini selepas mendapati culaan sokongan di Kelantan Pas tidak mungkin kembali memerintah selepas PRU 14 kerana pertandingan 3 penjuru antara PH, BN dan parti agama itu.
Begitu juga di Selangor, tentunya angka-angka telah menunjukkan BN boleh menang dalam persaingan tiga penjuru sehingga menimbulkan kekuatan kepada Najib untuk memusnahkan persahabatan.
Kembalilah kepada PH
Hari ini kebenaran telah terbukti, Umno tidak boleh dipercayai selama-lamanya. Dan hari ini Pas tidak perlu memberi pelbagai dalih lagi selain segera membuat permohonan menyertai Pakatan Harapan (PH) atau menjadi sekutu PH dalam PRU 14 sebagai tindak balas ke atas Najib.
BN telah memperolehi angka untuk menawan Kelantan dan Selangor. Pas boleh menjadi hero semula jika mereka bersama pembangkang menyekat usaha BN. Rakyat akan menghormati mereka kembali jika memohon maaf kepada parti-parti sekutu dan kembali melawan BN 100%.