Perlantikan Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengetuai jawatankuasa pro-tem Pakatan Harapan (PH) adalah langkah yang bijak dalam mengukuhkan PH sekali gus membuktikan kepada pengundi Melayu bahawa gabungan itu bukanlah alat DAP seperti mana yang difitnahkan selama ini.
“Perlantikan tersebut tentu dapat meningkatkan sokongan Melayu. Kak Wan mewakili Pakatan sementara Dr Mahathir mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah gandingan yang akan menguatkan peluang PH untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti,” kata Albert Kwok, penganalis politik yang juga seorang usahawan dalam bidang hartanah.
Albert berharap pengundi Melayu akan bertekad untuk mengundi PH kali ini agar rakyat Malaysia mendapat manfaat yang lebih baik dari sumber hasil negara dan kos sara hidup diturunkan.
“Hanya PH mampu menjamin kesejahteraan hidup rakyat kerana kerajaan gabungan itu akan menurunkan harga minyak. Juga Cukai Barangan dan Perkhidmatan dimansuhkan. Semua langkah ini amat menguntungkan rakyat.
“Justeru itu, saya yakin PH akan menerajui kerajaan pusat tidak lama lagi,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Selain itu, beliau juga berpendapat gandingan pemimpin PH dan PPBM akan menggariskan polisi kewangan dan ekonomi yang mantap serta holistik kerana masing-masing mempunyai pakar-pakar ekonomi yang berpengalaman, bijak serta cermat dalam menguruskan hal kewangan negara.
“Penurunan harga minyak baru-baru ini juga menunjukkan PRU14 semakin dekat. Saya menggesa PH mula mengatur strategi dari sekarang sebab ada kemungkinan PRU14 diadakan pada bulan Mei ini.
“Sudah pasti pihak musuh kini semakin gentar dan gelisah dan tentulah mereka tidak akan memberikan terlalu banyak masa kepada pihak pembangkang untuk membuat persiapan,” tambah Albert.