Indeks Harga Pengguna pada bulan Mac lalu dilaporkan meningkat kepada 4.5 peratus yang bermakna pada puratanya harga kebanyakan barangan harian naik sebanyak 4.5 peratus.
Kenaikan inflasi kali ini yang melebihi 4 peratus, kali terakhir pada 2008 lalu, memberi petanda ekonomi negara dilanda badai inflasi akibat perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta kenaikan harga minyak masak dan petrol.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas seorang peniaga, Puan Maimunah, 50an, yang menjual nasi lemak, mi siam, mi goreng dan pelbagai jenis kuih di Segambut, Kuala Lumpur mendapati penjaja kecil-kecilan sudah tidak sanggup lagi menghadapi kenaikan kos peniagaan yang bertali arus pada setiap bulan.
“Saya tinggal di rumah pangsa dan kami bukanlah orang kaya-raya. Kos sara hidup yang meningkat sangat membebankan. Harga sayur, ikan dan daging naik dengan banyak. Tapi saya tidak boleh naikkan harga nasi lemak kerana ramai pelanggan akan ‘komplen’.
“Maklumlah yang beli nasi lemak ini suri rumah dan orang kerja kilang atau pejabat saja, bukannya ‘bos-bos besar’. Saya terpaksa kekalkan harga yang sama untuk pelanggan, yang semuanya pelanggan setia,” kata Munah.
Situasi getir itu katanya menyebabkan penghuni di blok rumah pangsa itu menyokong Pakatan Harapan (PH) dan mereka berharap PH akan memenangi pilihan raya umum ke 14.
“Ramai tidak sabar mahu mengundi. Kali ini BN pasti kalah teruk di kawasan bandar dan oleh itu tumpuan harus diberi oleh PH terhadap pengundi di kawasan luar bandar dengan memberi fokus kepada isu harga minyak dan GST.
“Rakyat sudah bosan dengan BN. Kita beri peluang kepada PH. Saudara saya di Pulau Pinang kata DAP buat yang terbaik di sana dan di Selangor pun prestasi MB Azmin Ali dari PKR amat membanggakan. Rugilah kalau undi BN lagi,” kata Munah yakin.