Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah menafikan desas desus pimpinan parti dalam Pakatan Harapan akan memegang jawatan utama dalam jawatan kuasa Pakatan Harapan bagi tujuan pendaftaran di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Siapa pun boleh pegang jawatan tertinggi dalam Pakatan Harapan.
“Itu cuma perbualan di luar. Kita belum bincang lagi dan ia sekadar untuk mendaftar ke ROS sahaja tidak bermaksud itulah kedudukannya- tidak seperti itu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta mengulas mengenai desas-desus mengatakan empat jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari akan diserahkan kepada pimpinan PKR, Bersatu, Amanah dan DAP.
Saifuddin menjelaskan sehingga kini apa yang telah dipersetujui oleh Majlis Presiden adalah setiap parti akan memberikan empat nama untuk mengisi jawatankuasa Pakatan Harapan yang akan didaftarkan itu.
“Setiap parti akan hantar 4 nama dan jika dicampur 2 penasihat jadi 18 orang dalam jawatan kuasa.
“Siapa nak jadi Presiden, Timbalan Presiden itu semua teknikal untuk mengisi keperluan ROS kerana kita perlu senaraikan nama ahli jawatan kuasa – ia tidak mengubah apa-apa.
“Ada yang tanya saya Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) jadi Pengerusi atau Penasihat Pakatan Harapan?
“Dia (Wan Azizah) jadi penasihat ke pengerusi ke yang pasti hakikinya dia Ketua Pembangkang,” ujarnya.
Ditanya kemungkinan desas-desus itu boleh berlaku?
“Kita (Majlis Presiden) secara rasmi tidak berbincang lagi.
“Itu semua urusan dalaman Pakatan Harapan. Kita tidak rigid, sesiapa boleh diletakkan untuk memenuhi jawatan kuasa tertinggi itu nanti,” ujarnya.
Pada 27 Mac lalu Pakatan Harapan mengumumkan akan mengemukakan permohonan untuk pendaftaran rasmi pakatan pembangkang itu kepada ROS.
Pakatan Harapan bersetuju untuk membuat satu logo dan satu manifesto yang sama dengan menggunakan nama Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
Saifuddin juga memberitahu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan berbincang minggu hadapan.
Antara perkara yang akan dibincangkan mengenai barisan jawatankuasa yang akan didaftarkan ke ROS dan permohonan Parti Bebas Rasuah untuk menyertai Pakatan Harapan.
Mengulas mengenai hasrat parti di bawah pimpinan Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor itu untuk menyertai Pakatan Harapan, Saifuddin berkata, dasar Pakatan Harapan terbuka untuk mana-mana pihak menyertai gabungan itu.
“Dari dasarnya kita memang terbuka asalkan parti yang ingin menyertai Pakatan Harapan ada persamaan dari segi matlamat dan tujuannya untuk menjatuhkan Barisan Nasional.
“Soal kerusi yang diminta itu menunjukkan keikhlasan parti baharu itu.
“Itu adatlah… kita akan pertimbangkan (kerusi) kerana matlamat bersama untuk kalahkan BN,” ujarnya mengulas mengenai dua kerusi yang menjadi sasaran Ezam iaitu di Parlimen Pekan dan Titiwangsa.
Pada 4 April lalu Timbalan Presidennya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyerahkan surat permohonan rasmi parti itu kepada Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen untuk menyertai Pakatan Harapan. MD