Memetik “kata-kata hikmat” seseorang yang tidak dinyatakan, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sesi kali ini sebelum usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibahaskan.
Menurut Pandikar, beliau berkuasa penuh untuk menentukan perjalanan mesyuarat dewan dan membuat keputusan berdasarkan kuasa yang ada padanya.
“Saya ingin kongsikan satu kata-kata hikmat yang terpahat di fikiran saya hingga sekarang – if you are in power, you are powerful, if you don’t use your power, your are a bloody fool.
“Pada hari ini saya tak mahu menjadi bloody fool. Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan (usul meminda Akta 355 dibawa hari ini) diadakan pada sesi akan datang,” katanya.
Penangguhan sidang itu dibuat kira-kira jam 4 petang. Sidang Dewan Rakyat selanjutnya dijadual diadakan pada 24 Julai ini.
Penangguhan dibuat Pandikar itu mendorong anggota parlimen pembangkang bangkit mengecam keputusan berkenaan kerana mereka tidak diberi peluang membahaskan usul Abdul Hadi itu.
Bagaimanapun Pandikar enggan berganjak, sebaliknya terus meninggalkan sidang.
Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) berkali-kali menyebut: “Islam bukan macam ni!” Mkini