Penangguhan perbahasan usul Rang Undang-undang Akta 355 oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini menimbulkan kembali isu penyaluran dana kepada para pemimpin Pas oleh perdana menteri, namun kali ini membabitkan wang 1MDB.
Yakin bahawa isu RUU 355 akan dijadikan modal politik oleh Umno dan Pas bagi meraih sokongan rakyat, ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli tidak mahu menunggu lama untuk mendedahkan skandal tersebut memandangkan pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.
Bercakap pada sidang media ahli parlimen Pakatan Harapan di bangunan Parlimen, Rafizi berkata harapan pemimpin Umno dan Pas supaya Pakatan Harapan berpecah ekoran sandiwara RUU 355 adalah meleset.
“Kami telah bersetuju untuk menangani isu ini (RUU 355) secara berhemah sebagai satu pakatan,” tegasnya.
Dakwa Rafizi lagi, oleh kerana pilihan raya umum mungkin diadakan sebelum sidang parlimen akan datang, beliau tidak akan menunggu untuk mendedahkan dokumen berkaitan penyaluran dana 1MDB kepada para pemimpin Pas.
Walaupun pada awalnya Pakatan Harapan mahu mendedahkan isu ini secara berhemah, namun Rafizi berkata insiden hari ini mendorong pendedahan itu dibuat segera.
Beliau juga menunggu reaksi daripada para pemimpin Pas dalam tempoh seminggu dua ini sebelum melakukan pendedahan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Rafizi tidak perlu membuat cabaran tersebut.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Kota Bharu itu mahu Rafizi membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Rafizi tak perlu cabar, jalan terbaik adalah beliau membuat laporan kepada SPRM dan serahkan bukti itu untuk disiasat,” kata Takiyuddin kepada Malaysiakini. MD