Ekonomi Malaysia mula memasuki keadaan sukar. Perniagaan yang tutup saban hari bukanlah suatu khabar angin. Di kawasan perniagaan Bangi – Kajang, Selangor situasi penutupan 2 hingga 3 pejabat sehari adalah biasa.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas industri insurans pula mendapati keadaan perniagaan adalah lembab. Termasuk polisi insurans kenderaan kereta motor yang wajib dibeli oleh rakyat.
Seorang agen insurans Mary Chuah berkata, polisi insurans kesihatan merupakan cabang yang paling terjejas.
“Ramai warga emas telah menamatkan polisi insurans kesihatan. Mereka memberitahu sudah tidak mampu membayar kerana ada anak yang sedang menganggur,” katanya.
Menurut beliau lagi, polisi insurans kereta motor pula mendapat keuntungan minimum kerana pelanggan sering meminta jumlah yang lebih kecil untuk diinsuranskan.
“Orang yang memiliki kereta lama (lebih daripada 7 tahun) meminta membayar polisi untuk nilai kereta yang kurang daripada yang dicadangkan oleh syarikat insurans,” ujarnya.
Beliau memberi contoh, sebuah kereta Kancil Manual 659 c.c. tahun 2009. Syarikat insurans menilai kereta itu dengan harga RM9,000 tetapi pemegang polisi biasanya akan menginsurankan atas nilai RM8,000 ataupun RM7,000 sahaja.
“Ramai rakyat golongan miskin dan sederhana kini sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi. Ada ramai pemuda dan graduan universiti yang menganggur.
“Hujung tahun ini mungkin lagi teruk. Orang yang kata ekonomi negara akan bertambah baik adalah pembodek ataupun orang bebal sahaja,” keluh Mary.