ULASAN: Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar merupakan sosok yang terlalu lama dalam Pas dan telah merasai masa muda serta masa tua dalam parti itu.
Beliau juga merasai pengalaman kalah teruk. Tiada wang membeli tiket bas atau bas keretapi. Juga tidur bawah meja ofis menumpang sahabat-sahabat berceramah ke sana ke mari.
Setelah menang, sempat merasai elaun beribu-ribu sebulan sebagai Yang Berhormat pada tahun 1999 bersama mantan Presiden Pas Ustaz Fadzil Noor.
Mahfuz walaupun tidaklah berpelajaran tinggi seperti Abdul Hadi Awang atau Prof Mahfodz atau Hashim Jasin tetapi beliau terus berjuang kerana yakin apa yang Pas bawa adalah perjuangan langsung Nabi dan Rasul, iaitu mendaulatkan Islam yang syumul.
Beliau pernah menjawat Ketua Dewan Pemuda, AJK Pas Pusat, Ketua Penerangan Pas Pusat, Timbalan Pesuruhjaya, Pesuruhjaya dan pelbagai jawatan lain.
Dengan kehendak Allah swt Mahfuz tewas dalam pemilihan parti tahun 2015.
Dalam waktu yang tidak lama, puluhan sahabatnya menubuhkan gerakan harapan baru. Seterusnya para sahabat-sahabatnya itu mengubah sebuah parti pekerja kepada parti Islam dengan nama Parti Amanah Negara (Amanah).
Namun Mahfuz masih kekal bersama Pas dan meneruskan perjuangan ketika masih menjawat sebagai Yang DiPertua Pas Kawasan Pokok Sena.
Selepas beberapa ketika Mahfuz bercuti daripada jawatannya itu. Dengan menjadi ahli biasa dan bertugas sebagai ahli parlimen sahaja.
Mahfuz aktif menyampaikan ceramah atas pentas politik PKR, Amanah DAP dan terbaru PBBM pimpinan sahabat baik almarhum ayahnya.
Kini bertalu-talu kenyataan oleh pimpinan tinggi Pas agar Mahfuz memilih keluar parti kerana tidak seiring dan taat setia kepada Pas.
Terbaru menurut Hashim Jasin, orang Perlis dan mursyidul am Pas serta pesara kerajaan di Felda, bahawa Mahfuz bukan lagi ahli pas dan bakal dipecat kerana sikapnya.
Sesungguhnya, Pas dan Mahfuz Omar berpisah tiada bagaikan isi dan kuku atau irama dan lagu
____________________________________________________________________________________________
Penulis merupakan aktivis Pas sejak era mantan presiden Fadzil Noor dan mengenali Mahfuz sejak hari terawal beliau menyertai Pas.