Usul persendirian yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) bagi tujuan pindaan Akta 355 jelas bukannya hukuman hudud seperti turut disahkan Presiden Pas itu pada sidang Dewan Rakyat, 6 April lalu.
Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) berkata, isu Rang Undang-undang (RUU) 355 yang disokong Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) sebenarnya boleh dibincangkan bagi memperkasakan Mahkamah Syariah secara menyeluruh.
“Pembentangan usul (persendirian) Marang menyatakan (RUU 355) ini bukan hudud. Kalau bukan hudud, ini jelas dalam kerangka takzir yang boleh dibincang bagi mencari penyelesaian terbaik dan dibahas demi mengangkat martabat Mahkamah Syariah.
“Takiyuddin juga kata 100 sebatan, 30 tahun penjara dalam kes sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya. Yang kecil itu apa? Yang besar itu apa?
“Kalau bernikah di luar kariah, mereka boleh dihukum 30 tahun penjara dan denda RM100,000. Ini amat tidak adil termasuk mereka yang tidak berpuasa, tidak solat Jumaat dan memberikan di masjid tanpa tauliah terdedah kepada hukuman 30 tahun penjara,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abdullah pada Sidang Parlimen Rakyat Edisi Khas Pakatan Harapan malam tadi menyeru supaya hukuman yang dikenakan Mahkamah Syariah diselaraskan selain pentingnya meneliti kembali konsep hukuman.
“Apakah memenjarakan 30 tahun itu boleh mendisiplinkan mereka? Janganlah meletakkan hal ini sebagai polemik politik.
“Ada menangis (Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan) walaupun ini bukan hudud. Jadi, tolonglah jangan menuduh mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman 30 tahun penjara dan denda RM100,000 sebagai tidak Islamik,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Datuk Mohd Ariff Sabri (DAP-Raub) berkata, perkara paling mendesak pada masa ini adalah memperkasakan ekonomi dan politik orang Islam.
Beliau yang menjadi pembahas ketiga juga berkongsikan tangapan majoriti masyarakat Cina terhadap kepimpinan Abdul Hadi yang dilihat tidak konsisten.
“Kita berasa yakin berpegang pada janjinya (Nik Aziz). Bangsa Cina kalau Nik Aziz, mereka percaya. Kalau dari Marang, mereka tak yakin, sentiasa berubah-ubah,” tambah Ariff lagi. MD