DAP kawasan Taiping mencatat sejarah dengan memberi sumbangan kepada 1,000 orang warga emas dan keluarga miskin dari pelbagai kaum pada 1 Februari lalu sebagai usaha memupuk masyarakat penyayang.
Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang menerajui pasukan khidmat masyarakat DAP Taiping telah memberi sumbangan barangan asas seperti beras, gula, minyak dan makanan ringan sempena Tahun Baru Cina. Bersama beliau adalah ADUN Pokok Asam, Yee Seu kai dan ADUN Aulong, Yew Tian Woh serta ahli-ahli parti dari Pakatan Rakyat. Turut Hadir adalah Pesuruhjaya PAS Taiping, Ustaz Pahkaruddin.
Dalam ucapan perasmian, Nga Kor Ming berkata, walaupun peruntukan Ahli Parlimen telah dirampas oleh kerajaan Barisan Nasional, tetapi semua itu tidak mematahkan semangat wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Ketidakadilan BN tidak akan menjadi batu penghalang kepada kami untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat miskin,”tegas Nga
Sehubungan itu, beliau yang juga setiausaha DAP Perak menggesa rakyat pelbagai kaum memberikan sokongan yang lebih jitu kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang agar mampu menawam Putrajaya dan hasilnya rakyat akan menikmati sumbangan yang lebih besar daripada kerajaan PR.
“Seandainya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya pada PRU Ke-13, Kerajaan PR akan memberikan RM1,000 kepada setiap rakyat berumur 60 tahun ke atas sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan jasa mereka dalam pembangunan negara. Dasar penyayang tersebut adalah bertujuan untuk memupuk masyarakat penyayang yang prihatin,”ucapnya.
Dengan sokongan orang ramai, DAP Taiping kali ini berjaya mendapat tajaan dan sumbangan pelbagai bentuk bernilai lebih RM50,000 dan telah disalurkan kepada rakyat jelata tanpa mengira kaum dan agama. Program khidmat masyarakat ini telah di adakan di pusat khidmat Ahli Parlimen Taiping dan turut dihadiri lebih 1,000 orang yang membanjiri pusat khidmat tersebut.