Harga minyak naik lagi untuk minggu bermula 13 April 2017. Kenaikan ini berikutan peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia yang melebihi AS$55 setong.
Bagaimanapun rakyat bimbang jika trend kenaikan harga minyak dunia berterusan maka RON 95 di negara ini akan mencecah RM3 seliter menjelang hujung tahun.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas 20 orang pengguna menegaskan harga minyak perlu diberikan subsidi sebagaimana sebelum 2015. Menurut mereka, kenaikan minyak dan harga barangan lain disebabkan kejatuhan nilai matawang Ringgit RM4.40 berbanding AS1.
Kejatuhan itu bagi mereka tidak mungkin segera pulih kerana imej negara yang terjejas teruk di mata dunia berikutan beberapa siri skandal kewangan yang membabitkan pemimpin utama negara, khususnya skandal 1MDB.
Michael Yap seorang penandu teksi di Ipoh, Perak berkata, Malaysia terlalu banyak kelemahan sehingga menenggelamkan kebaikannya sejak beberapa dekad lalu di pentas dunia.
“Sekarang imej Malaysia di serata dunia tidak baik. Rakyat Korea Utara dibunuh di negara ini pada 13 Februari lalu dan pada hari sama seorang paderi gereja, Raymond Koh telah diculik.
“Oleh itu, kita sebagai pemandu teksi merasakan bahang ekonomi yang lembab ini. Isu 1MDB masih belum diselesaikan apabila pihak berkuasa Switzerland mengeluarkan kenyataan kerajaan Malaysia tidak banyak membantu dalam memberi maklumat berkenaan dokumen-dokumen 1MDB. Isu ini menjejaskan nama negara. Ada juga pelancong asing yang tanya saya pasal 1MDB,” kata Yap.
Menurut beliau lagi, keyakinan usahawan tempatan dan luar negara telah menurun kerana pemimpin negara gagal menjawab soalan Ahli Parlimen pembangkang, terutamanya Rafizi Ramli dan Tony Pua mengenai beberapa skandal besar yang berlaku.
“Kalau kerajaan gagal menjawab kedua-dua mereka maka kita sebagai rakyat tahu memang ada sesuatu yang kurang memuaskan, yang tidak boleh diberitahu kepada rakyat.
“Apabila ini berlaku, usahawan akan hilang keyakinan dan imej negara akan jatuh. Bila imej negara jatuh, matawang kita jadi lemah dan barang pun menjadi mahal.
“Pelabur asing sekarang pun kurang yakin terhadap ekonomi negara kita, adakah kita mahu terus rasa yakin?” tanya Yap.