Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi mahu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) memfokuskan tentang kelengkapan infrastruktur persekitaran tapak Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) di Tanjung Tualang yang ketika ini sangat berisiko kepada pengunjung
Amanah Negeri Perak semalam telah menyahut pelawaan MBI Inc Perak untuk bertemu dan melawat tapak Kapal Korek TT5.
Ini susulan pendedahan Asmuni baru-baru ini tentang kepincangan projek membaikpulih TT5.
Kehadiran pimpinan Amanah telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Datuk Aminudin Hashim serta barisan kepimpinannya.
Dalam pertemuan tersebut, Aminudin telah memberikan taklimat tentang perancangan MB Inc dalam membina TT5 menjadi lokasi pelancongan di dalam negeri Perak.
Aminudin berkata proses baikpulih kapal korek kini sekitar 80 peratus siap dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini.
Mengulas mengenai kelewatan projek yang sepatutnya siap tahun ini jelas Aminudin ia disebabkan perubahan pelbagai idea baikpulih dan peruntukan.
“Projek ini sepatutnya siap pada tahun ini tetapi tergendala dan proses membaikpulih bermula pada Mei 2016 kerana mengambil kira pertukaran idea baikpulih dan masalah peruntukan.
“Bagaimanapun kita berjaya mengurangkan peruntukan daripada RM200 juta kepada 4 juta dan kini telah siap 80 peratus,” katanya.
Dalam pertemuan itu pimpinan Amanah Perak telah mengambil peluang tersebut untuk menyampaikan pandangan, kritikan serta berkongsi idea dalam menjayakan projek pemuliharaan warisan negara itu.
Antara lain, Asmuni mempersoalkan kegagalan membaikpulih kapal korek tersebut mengikut jangkaan masa yang ditetapkan sendiri oleh MB Inc.
Katanya, Kapal Korek TT5 adalah antara tempat yang disenaraikan dalam lokasi pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2017.
Namun sehingga hari ini, kapal korek tersebut masih dalam fasa awal membaikpulih.
Walaubagaimanapun, dalam pertemuan itu Aminuddin sekali lagi memberi keyakinan bahawa projek tersebut akan disiapkan pada suku ketiga tahun ini.
Dalam sidang media sejurus lawatan tersebut, Asmuni menyatakan, lawatannya adalah sebagai peluang perkongsian idea dan bukannya hanya untuk mengkritik.
“Kita tertarik dengan projek ini dan ia menjadi harapan setiap pelancong untuk datang melihat kapal korek dan memasuki rupa struktur dalamnya.
“Jadi kita Ingin tahu daripada pihak MB Inc dan didapati banyak lagi perlu diperbaiki malah diharapkan perkongsian input dapat digunakan oleh pihak mereka,” katanya.
Katanya lagi, TT5 adalah satu-satunya kapal korek yang masih tinggal di dalam negara ini dan sewajarnya dikekalkan untuk warisan generasi yang akan datang.