Parti Keadilan Rakyat mendesak supaya satu reformasi politik dilakukan dalam negara di mana undang-undang dan peraturan pilihan raya dikemas-kinikan selaras sistem demokrasi yang diperjuangkan selama ini.
Demikian dinyatakan Ketua Penerangan Keadilan Pusat, Syed Ibrahim Syed Noh ketika mengulas tindakan Timbalan Perdana Menteri Thailand Wissanu Kreangam mengumumkan tarikh pilihan raya umum negara tersebut setahun lebih awal dari tarikh pembuangan undi.
Kegagalan parti pemerintah Malaysia menghidupkan demokrasi sebenar dalam urusan pilihan raya menjadikan iklim politik semakin tidak menentu kerana semua perkara dipolitikkan mengikut kepentingan mereka yang berkuasa.
“Walau dijangka akan berlaku pergolakan terhadap perkembangan politiknya, tetapi pemerintah Thailand tetap komited terhadap penetapan tarikh pilihan raya negara tersebut mengikut peraturan dan iklim yang saksama serta adil kepada semua pihak yang ingin bertanding mewakili rakyat,” kata Syed Ibrahim.
“Jika kerajaan Malaysia telus maka tarikh pilihan raya perlu ditetapkan lebih awal seperti kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi, bukan ia ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah diumumkan pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri,” tambah beliau.
Merahsiakan tarikh pilihan raya adalah satu kelemahan kerana demokrasi yang sihat bermakna memberi ruang kepada semua parti politik bertanding atas padang yang sama rata bukan memberi kelebihan kepada parti berkuasa sahaja.
Adalah penting untuk rakyat dapat menilai dengan baik siapa yang layak mewakili mereka melalui pilihan raya yang telus, adil dan saksama kerana kepentingan bernegara adalah satu keperluan kepada seluruh rakyat.
“Selain tarikh penetapan pilihan raya yang munasabah dapat memberi ruang kepada parti-parti bertanding untuk membuat persiapan rapi, pembangkang juga harus diberi ruang berkempen dalam media perdana seperti parti pemerintah demi menyemarakkan lagi demokrasi dalam negara”, akhiri beliau.