Beberapa ahli majlis Selangor hari ini membidas Tan Sri Noh Omar sebagai tidak pro-rakyat, selepas kementeriannya membatalkan semua kelulusan projek jenis BP 1 di kawasan Parlimen yang BN tewas.
Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam Muhammad Shakir Ameer menyifatkan keputusan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu sebagai bersifat berniat jahat dan kebudak-budakan.
“Keputusan diambil Noh menunjukkan beliau tidak matang dan tidak tahu membezakan di antara politik, pentadbiran dan tanggungjawab.
“Harus disedari bahawa rakyat adalah pembayar cukai dan kerajaan tidak boleh menindas sesiapa atas dasar politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Noh membatalkan semua kelulusan projek BP 1, iaitu projek berskala kecil di peringkat majlis tempatan, di semua kawasan Parlimen yang BN tewas.
Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Abu Bakar Johar dalam pekelilingnya berkata keputusan dibuat dalam mesyuarat 9 Mac lalu, untuk “penyelarasan peruntukan projek BP 1 2017”. Mesyuarat dihadiri Noh bersama datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan di Malaysia.
Ahli Majlis Perbandaran Selayang Ahmad Irfan menjelaskan projek BP1 sebenarnya melibatkan kemudahan asas dalam kawasan PBT.
“Dengan kata mudah, BN membatalkan projek-projek naik taraf jalan, parit dan longkang, lampu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Sepatutnya KPKT perlu menambah peruntukkan kepada PBT untuk mengimbangi perbelanjaan yang semakin meningkat…Adakah Noh Omar langsung tidak memikirkan kebajikan rakyat Selangor di bawah?”
Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Perbandaran Selayang Edry Faizal melihat keputusan Noh Omar sebagai pengkhianatan kepada rakyat Selangor.
Sepatutnya, kata Edry dalam kenyataan, kementerian dan kerajaan mesti memastikan peruntukan atau bantuan disalurkan di kawasan yang memerlukan.
“Jika sikap buruk Noh Omar ini ditiru oleh PBT, dan kutipan sampah hanya dilakukan mengikut kecenderungan politik sesuatu kawasan, bukankah malapetaka jadinya?” FMT