Seorang penganalisis politik, Albert Kwok memberitahu, iklim politik Malaysia amat disangsikan oleh pelabur asing.
Katanya, daripada teka-teki tarikh pilihan raya sehinggalah skandal 1Malaysia Development Berhad, semuanya menunjukkan kecelaan demokrasi dan urustadbir yang buruk.
Hal itu, katanya menyebabkan pelabur inginkan sebuah kerajaan yang lebih baik selepas pilihan raya umum (PRU) ke 14 atau mereka akan menimbang mengalihkan pelaburan ke negara pertumbuhan baharu seperti Indonesia, Thailand atau Vietnam.
“Saya terus-terang berpendapat Pakatan Harapan mesti menang PRU14. Kalau tidak, keyakinan pelabur asing terhadap negara kita akan jatuh lagi.
“Menteri kerajaan yang berkata pihak pembangkang terutamanya DAP sedang memburuk-burukkan ekonomi Malaysia adalah orang yang mengeluarkan kenyataan yang amat dangkal sekali.
“Iklim ekonomi di negara ini terjejas disebabkan pelbagai skandal dan permainan tarikh PRU14. Jangan lupa perkara yang sama juga telah berlaku untuk PRU13. Pelabur asing terutamanya dari negara barat amat tidak gemar akan perkara seperti ini,” katanya.
Albert memberi contoh kerajaan New Zealand memberitahu tarikh pilihan raya umum lebih awal. Mereka mengumumkan PRU pada 23 September 2017.
Albert berpandangan, dengan merahsiakan tarikh PRU14 kerajaan BN amat jelas menunjukkan mereka langsung tidak menghormati pihak pembangkang.
“Negara demokrasi yang baik tidak wajar mengambil tindakan sedemikian. Teka-teki tarikh pilihan raya umum memberi gambaran pihak kerajaan BN hendak melenyapkan pembangkang dari muka bumi. Adakah ini contoh demokrasi yang sihat?” tanya beliau.
Pendapat Albert dikongsi oleh seorang pelabur asing Jameson Tan yang memiliki kilang di kawasan perindustrian Sungai Buloh, Selangor. Katanya, komuniti perniagaan sangat sukar untuk merancang pelaburan apabila kerajaan berteka-teki mengenai tarikh PRU.
“Situasi di Malaysia amat mengecewakan. Sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen yang berdasarkan model Westminster di Britain, pilihan raya umum yang akan diadakan sekurang-kurangnya patut diberitahu awal. Kita masyarakat usahawan mendapati amat susah untuk membuat perancangan kewangan apabila tarikh tersebut dirahsiakan,” kata beliau.