Ketua Penerangan Parti Keadilan Nasional, Syed Ibrahim Syed Noh berpendapat perancangan Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India 2017 yang diumumkan PM Najib Razak baru-baru ini merupakan janji yang dikitar semula (recycle) sejak pilihan raya umum (PRU) ke 13, pada 2013 lalu.
Menurut Syed Ibrahim, menjelang PRU 13, PM telah pun menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang menjanjikan dana sebanyak RM4.5 bilion antara Hindraf-Makkal Sakthi dan Barisan Nasional untuk pembangunan masyakat India tetapi ia gagal ditunaikan.
“Najib telah mengkhianati ikrar nambikei (amanah) pada rakyat Malaysia berketurunan India ketika itu dan sekarang sejumlah RM1 billion pula dijanjikan,” sinis beliau.
Syed Ibrahim mengambil contoh, sejumlah RM37 juta telah dijanjikan melalui Yayasan Naam untuk pembangunan belia India namun cuma RM19 juta sahaja disalurkan melalui Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri menjelang PRU 13 lalu.
“Selian itu, isu 300,000 kaum India tanpa kerakyatan dan nasib 800,000 pekerja estet yang menghadapi masalah sosio-ekonomi, peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam termasuk pengambilan lebih ramai pelajar dari kaum India ke universiti awam masih lagi gagal diselesai oleh parti pemerintah,” tambah Syed Ibrahim.
Justeru, Syed menekankan agar ketirisan dalam pengurusan dana yang diperuntukkan kepada masyarakat India harus diselesaikan supaya kehidupan mereka benar-benar terbela dan tidak lagi menjadi rakyat kelas ketiga yang tertinggal dari arus perdana kemajuan negara.
PKR, katanya, tetap menyokong sebarang usaha kerajaan untuk memperbaiki kualiti kehidupan kaum India dan permasalahan di sekitar lingkungan kehidupan mereka namun tindakan perlu disegerakan kerana kaum India telah puluhan tahun ketinggalan berbanding kaum Cina dan Melayu di negara ini