Penganalisis ekonomi tidak bersetuju dengan pendapat sebilangan menteri kerajaan BN yang memperlekehkan kononnya Pakatan Harapan (PH) tidak akan berjaya memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana tidak mempunyai pelan alternatif mengganti hasil cukai berkenaan.
Seorang penganalisis ekonomi, Albert Kwok berkata, PH boleh menggantikan hasil GST (RM41 bilion pada 2016) dengan mengembalikan Cukai Jualan yang dikutip dalam lingkungan RM10 – RM15 bilion. Selain itu, katanya, PH pernah menggariskan pelan alternatif dengan membanteras ketirisan yang berjumlah RM20 bilion setahun mengikut Laporan Ketua Audit Negara dan menghentikan subsidi kepada penjana tenaga bebas (IPP) sebanyak RM19 bilion setahun.
Oleh itu, menurutnya, menteri yang mempertikaikan keupayaan pelan ekonomi PH berkemungkinan tidak melakukan penyelidikan mengenai janji pembangkang yang menjelaskan secara terperinci pelan alternatif tersebut.
“Kritikan menteri itu adalah tidak tepat sama sekali. PH sebulat suara mahu memansuhkan GST kerana dengan pengurusan kewangan yang baik, GST tidak perlu dilaksanakan sehingga negara Malaysia mencapai taraf negara maju.
“Juga kalau pemimpin BN itu berkata kerajaan perlukan GST maka ia bermakna urus-tadbir ekonomi dan kewangan oleh pentadbiran BN telah gagal dan tanpa GST, negara kita akan ‘habis’,” kata beliau kepada Suara pakatan daily.
Albert juga tidak bersetuju dengan propaganda kerajaan BN bahawa kos hidup di Malaysia sangat murah berbanding mana-mana negara di dunia. Katanya, jika dibandingkan gaji eksekutif muda di United Kingdom (UK) dan Malaysia, maka mereka menerima gaji permulaan sekitar 2,500 pound dan RM2,500. Namun nilai barangan di UK berdasarkan ukuran perdapatan, lebih murah berbanding di Malaysia.
“Sebagai contoh, suratkhabar di UK ada yang berharga 35 pence. Adakah apa-apa suratkhabar di Malaysia yang berharga 35 sen?
“Di UK, anda boleh beli kereta baru dengan harga 5,000 pound. Adakah anda boleh membeli kereta baru di Malaysia dengan hanya RM5,000? Kerajaan Malaysia tidak tahu membuat perbandingan. Sudah jelas nilai matawang kita sudah menguncup,” kata Albert lagi.
Oleh yang demikian, bagi mencerahkan minda pengundi menjelang pilihan raya umum ke 14 Albert menggesa agar PH mengeluarkan risalah pelan ekonomi alternatif yang akan dilaksanakan sekiranya pembangkang diberi mandat menguasai kerajaan persekutuan.