Pakatan Harapan sudah mempunyai strategi tersendiri jika permohonan mereka untuk mendaftarkan badan gabungan itu ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, pendekatan itu telah dipersetujui oleh pimpinan Pakatan Harapan di peringkat pusat.
“Kalau logo yang kita daftarkan nanti ditolak, kita sudah ada strategi sendiri dan akan gunakan satu logo juga sebagaimana yang telah dipersetujui,” kata Wan Rahim dalam ceramahnya di Jalan Yaakubiah, Kota Bharu malam ini.
Wan Rahim berkata demikian ketika menjawab soalan penonton yang mahu tahu perkembangan tentang penggunaan satu logo oleh Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang.
Majlis Sekretariat Pakatan Harapan telah bermesyuarat hari ini bagi membuat persiapan dari segi struktor, perlembagaan dan logo gabungan empat parti politik itu.
Ketiga-tiga perkara itu akan dibawa kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dijangka akan bermesyuarat minggu depan untuk diluluskan.
Selepas ia diluluskan, Pakatan Harapan akan didaftarkan kepada RoS lengkap dengan struktor, perlembagaan dan logo barunya.
Sebelum ini, Pakatan Harapan telah mencapai kata sepakat untuk menyertai pilihan raya umum ke 14 nanti dalam satu pasukan yang mempunyai satu logo, satu manifesto dan satu calon bersama.
Usaha untuk membuat perkara itu seringkali ditekankan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagi Tun Mahathir, itulah formula kemenangan BN selama ini iaitu mempunyai satu logo, satu calon dan satu manifesto bersama. – MD