Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kedah tidak akan menjanjikan perbahasan yang hebat dan menyentuh isu-isu strategi pilihan raya sebagaimana sebelumnya.
Seorang veteran Pas yang enggan namanya disiarkan memberitahu, perwakilan Pas ke muktamar kali ini telah pun ditapis dengan rapi agar tidak timbul pertentangan hujah dengan kehendak majoriti pimpinan parti.
Apatah lagi mempersoalkan strategi Pas berbaik-baik dengan Umno serta memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.
“Para perwakilan daripada peringkat Pas Kawasan telah pun ditapis sejak awal lagi oleh Pas Negeri dan Pusat agar tidak menimbulkan kekecohan dalam muktamar kali ini
“Tak mudah jika ada perwakilan yang berkeras mahu bawa isu menentang gaya baru Pas kepimpinan hari ini. Dijangkakan isu-isu seperti itu akan ditolak oleh pengerusi muktamar awal-awal lagi,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau menjangkakan isu yang paling panas ialah soal memutuskan hubungan politik dengan PKR. Bagaimanapun, menurutnya, isu itu jika dibahaskan tidak akan membenarkan pendapat kontra dengan kepemimpinan utama.
“Usul yang paling panas tentunya putus hubungan dengan PKR. Tapi usul kutuk DAP juga tidak kurang hebatnya
“Tidak mustahil perwakilan Pas akan tunjuk garang dalam kedua-dua usul itu kerana mereka telah merasa bahang PRU.
“Masing-masing akan menonjolkan diri sebagai calon terbaik pilihan raya dan sikap menyokong kebijaksanaan politik kepimpinan ulama tentunya adalah faktor yang diambil kira,” katanya lagi.