Oleh: Amirudin Ahmad
Kerajaan Persekutuan dan negeri diminta agar mengambil langkah segera menangani kejadian banjir yang berulang di kawasan Mentakab. Demikian di tegaskan oleh Ketua Cabang PKR Temerloh Ahmad Nizam Hamid ketika melawat 250 orang mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Batu Kapur, Mentakab, semalam.
“Kerajaan perlu perbaiki dan sediakan sistem perparitan yang lebih baik serta mendalamkan sungai Semantan. Ini kerana kawasan kampung tersebut adalah ‘flood-prone area’. Sekiranya hujan lebat berterusan walaupun di luar musim tengkujuh kawasan kampung ini akan menghadapi banjir, paling kurang dua kali setahun,” katanya.
Ahmad Nizam menambah banjir telah menjejaskan kehidupan penduduk sejak sekian lama dan tidak pernah dipedulikan oleh pihak berkuasa.
“Musibah banjir ini bukanlah perkara baru. Sejak bertahun-tahun inilah masalah yang dihadapi oleh penduduk. Saya berasa kesal dengan masalah yang berulang ini dan Kerajaan Pahang gagal mengambil tindakan pro-aktif walaupun kawasan tersebut dalam DUN Lanchang dan diwakili oleh seorang Exco Kerajaan Negeri manakala parlimen pula diwakili oleh Timbalan Menteri.
“Namun tiada langsung langkah pro-aktif dan peruntukkan bagi menyediakan prasarana sistem perparitan yang lebih baik dan efisien bagi mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko banjir yang menjejaskan kehidupan penduduk.
“Saya melahirkan penghargaan kepada JKM, Pertahanan Awam dan JKKK di atas khidmat cemerlang dan cekap mereka mengurangkan derita penduduk di musim banjir kali ini,” tambahnya.
PKR Cabang Temerloh memberikan sumbangan bantuan berupa barang makanan seperti telur, ikan masin, susu, sirap, mi segera, air mineral, kicap, ikan bilis, minyak masak, bawang dan lain-lain. Mereka juga membantu penduduk memindahkan barang-barang ke tempa yang selamat.