SUDAH tiba masanya rakyat Malaysia bangun dan menyedari situasi buruk negara dengan segala penyelewengan yang berlaku sudah berada pada tahap kritikal, Muhyiddin Yassin memberitahu kepada kira-kira 3,000 orang ramai di Muar, Johor malam tadi.
“Kita mahu menyedarkan masyarakat yang negara ini berada di peringkat cukup teruk. Kalau tidak ada yang berani, maka Malaysia akan jatuh dalam gaung yang cukup dalam.
“Perdana Menteri (Najib Razak) melakukan sesuatu perkara yang belum pernah difikirkan sehingga rakyat perlu menanggung malu dan bebanan cukup besar,” kata presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Beliau memuji tindakan Dr Mahathir Mohamad menggesa Najib meletakkan jawatan perdana menteri sebagai langkah berani.
Katanya, gesaan itu juga pernah diusulkan di Dewan Rakyat tetapi malangnya ramai ahli Parlimen tidak berani berbuat demikian kerana takut.
“Mereka tahu perbuatan jahat Najib sehingga rakyat menanggung beban hutang, Najib disokong ahli Parlimen walaupun buat perkara menyalahi undang-undang dan agama.
“Mereka takut tidak dapat bertanding contohnya di kerusi Muar ini,” katanya.
Kerusi Parlimen Muar kini dipegang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim.
“Akhirnya Dr Mahathir turun dan mengusulkan kepada rakyat dan menamakannya ‘Deklarasi Rakyat’, meminta rakyat menandatanganinya,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu menyeru para hadirin bersama-sama menumbangkan Najib pada pilihan raya akan datang.
Ucapannya disambut sorakan rakyat Johor yang hadir apabila beliau menyahut Johor dan Putrajaya akan pasti tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14.
“Sudah sampai masanya Umno tutup buku, Umno sudah rosak,” katanya sambil setiap kenyataannya itu disahut “betul” oleh para hadirin dan pukulan gendang.
Muhyiddin yang dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri semasa rombakan Kabinet dua tahun lalu berkata, wang berbilion ringgit yang didakwa Najib pemberian raja Arab adalah duit rakyat.
“Duit itu bukan daripada Raja Arab tetapi itu duit tuan puan. Duit kita!” Katanya.
Turut hadir pada ceramah malam tadi adalah Dr Mahathir, Naib Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, Ketua Armada Bersatu Syed Sadiq Abdul Rahman dan pemimpin PH lain. – TMI