Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin membidas ulamak Pas yang mengaitkan fahaman Islam liberal dengan pihak yang menyokong pindaan Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).
Beliau mempersoal kepafahaman pimpinan Pas mengenai Akta 164 yang didakwa masih banyak kelompangannya.
“Saya tidak pasti sama ada pemimpin Pas betul-betul hadam dan faham isu-isu yang masih tidak selesai dari Akta 164 tersebut?
“Seingat saya, dalam parlimen, antara wakil rakyat Islam yang banyak kali menyentuh masalah masalah berkaitan Akta 164 ini adalah Yb Parit Buntar (Dr Mujahid), Yb Kota Raja (Dr Mariah) dan saya sendiri.
“Seingat saya juga, saya tidak pernah melihat atau mendengar mana-mana wakil rakyat Pas yang pernah berbahas membangkitkan masalah Akta 164 ini. Saya rasa Yb Menteri dari Jerai tahu sangat perkara ini sebab kami banyak kali berbahas dengan beliau di parlimen tentang isu ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Ahmad Yaakob bahawa Islam liberal mempengaruhi beberapa pemimpin negara sehingga mereka takut kepada ‘hudud’ atau ‘negara Islam’.Ahmad Yaakob
Ahmad Yaakob
Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed turut mengecam Islam liberal dengan berkata, mereka mengukuhkan pindaan yang dicadangkan kepada Akta 164.
Mahfodz berkata, kebangkitan Islam liberal di kalangan umat Islam dan beberapa pemimpin telah menjurus kepada cadangan itu, yang didakwa bertentangan dengan Islam.
Mengulas lanjut, Hanipa yang juga pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun) berkata, Akta 164 perlu dibahas dengan tenang kerana ia menuntut pandangan yang holistik dan kritikal tentang konsep keadilan.
Jelasnya, Akta 164 adalah nama lain kepada Akta Memperbaharui (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 yang dikenali dengan istilah singkat LRA iaitu singkatan kepada Law Reform Act oleh para peguam.
“Saya masih ingat semasa saya masih seorang pelajar undang-undang lagi, mantan pensyarah saya iaitu Almarhum Datuk Prof Ahmad Ibrahim telah bercakap dan menulis tentang beberapa seksyen dalam Akta 164 yang banyak mendatangkan masalah khususnya seksyen 51 Akta 164 tersebut. Almarhum telah sekian lama dan banyak kali mencadangkan pindaan ke atas seksyen 51 tersebut,” katanya.
Menurut Hanipa, beliau juga banyak kali menyentuh tentang isu seksyen 51 Akta 164 tersebut dalam perbahasan di parlimen.
Seksyen 51 jelas beliau, menyentuh isu salah satu pasangan yang berkahwin menurut Akta 164 itu masuk Islam sama ada suami atau isteri.
“Masalahnya pasangan yang masuk Islam itu tidak boleh membatalkan perkahwinan mereka di mahkamah sivil. Oleh itu, ia, sama ada isteri atau suami yang masuk Islam itu, akan pergi ke Mahkamah Syariah untuk membatalkan perkahwinan dan/ atau jika ada anak untuk mendapatkan perintah jagaan ke atas anak itu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, masalah yang timbul adalah Mahkamah Syariah tidak boleh mendengar dua-dua pihak kerana salah satu pasangan lagi masih tidak masuk Islam kerana tidak ada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.
“Kesannya Mahkamah Syariah hanya akan dengar sebelah pihak sahaja. Sebab itu apabila Menteri Yb Jerai dalam satu penggulungannya di parlimen menyatakan Mahkamah Syariah sekarang menitik berat isu natural justice, saya bangun pertikaikan hal tersebut.
“Saya kata bagaimana kita boleh kata Mahkamah Syariah titik berat isu natural justice sedangkan dalam isu Akta 164 ini, Mahkamah Syariah hanya mendengar sebelah pihak sahaja. Saya kata natural justice mengkehendaki mahkamah mendengar dua- dua pihak. Beliau tak dapat jawab,” katanya.
Justeru, beliau berkata, apabila melihat ada cadangan dalam Rang Undang-undang pindaan itu mahu dipinda seksyen 51 tersebut, beliau melihat ia satu langkah yang baik.
“Cadangan pindaan itu adalah perjalanan ke arah yang betul (a move to a right direction ). Bagi saya juga, ia menunjukkan Islam juga ambil berat hak orang bukan Islam kerana sepertimana yang kita tahu, keadilan adalah sine qua non (ciri penting) syariat Islam.
“Begitu juga pindaaan ke atas isu pengganutan Islam anak secara unilateral (unilateral conversion of a child to Islam). Meskipun secara zahir nampak seolah-olah pindaan ini, jika dibenarkan, menyebabkan orang Islam khuatir nasib akidah anak tersebut, namun dari segi yang lain, isu ini juga menuntut satu pandangan yang holistik dan kritikal tentang konsep keadilan. Biarlah dibahaskan dengan tenang. Janganlah terus dihukum Islam liberal,” tegasnya.
Dalam sidang parlimen baru-baru ini, kerajaan mencadangkan satu RUU pindaan kepada Akta 164.
Namun pindaan ke atas RUU tersebut, meskipun telah ada dalam senarai yang tertinggi agenda mesyuarat Dewan Rakyat dan sesalinan RUU itu juga telah diletakkan di atas meja wakil wakil rakyat, namun ia tidak diteruskan pembentangannya oleh kerajaan.
Kerajaan sebaliknya memberi laluan kepada beberapa RUU lain termasuk RUU 355 yang dibawa oleh Pas untuk dibentangkan.
Ia menyebabkan ada beberapa orang wakil rakyat yang tidak berpuas hati dan bangun bertanya kepada speaker Dewan Rakyat bagi mendapat penjelasan mengapa mengkesampingkan pembentangan dan perbahasan RUU pindaaan Akta 164 tapi dalam masa yang sama memberi laluan yang secukupnya untuk beberapa RUU lain dibentang dan dibahas.
“Seingat saya antara wakil rakyat yang bangun dan meminta penjelasan tersebut adalah Yb Ipoh Barat (DAP) dan Yb Bukit Gelugur (DAP). Bila saya lihat yang bangun hanya wakil rakyat bukan Islam sahaja, saya bimbang isu ini mungkin akan dimanipulasi seolah-olah ianya isu pertelagahan agama antara orang bukan Islam dan orang Islam.
“Saya pun mengambil keputusan untuk bangkit juga dan minta penjelasan. Saya rasa saya adalah satu satunya wakil rakyat beragama Islam yang meminta penjelasan mengapa kerajaan tidak teruskan pembentangan RUU pindaan ke atas Akta 164 tersebut,” katanya. – MD