Tindakan PAS mengisytihar DAP sebagai musuh utama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menunjukkan parti itu ‘sesat’ dalam berpolitik selain akan menguntungkan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menganggap tindakan PAS sebagai tidak masuk akal.
“Jadi di sini, jelaslah PAS dari segi perjuangan politiknya sesat jalan dan lupa siapa kawan siapa lawan, sepatutnya musuh utama PAS adalah BN,” katanya kepada pemberita selepas sesi Penerangan Isu Semasa hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perwakilan PAS Pulau Pinang Yusni Mat Piah yang dilaporkan sebagai berkata BN bukan lagi musuh utama PAS pada PRU14, sebaliknya DAP kerana secara jelas menentang agenda Islam.
Pada sesi perbahasan ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS Ke-63 di Kedah semalam, Yusni turut menganggap Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai musuh utama parti Islam itu.
Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata PH tidak bercadang bertemu dengan kepimpinan PAS bagi membincangkan perkara itu sebaliknya mereka akan terus berusaha memperkukuh pakatan berkenaan – FMT