Tindakan pihak pengurusan Dawama Sdn Bhd yang memberikan Notis Cuti Tidak Bergaji (Unpaid Leave) tanpa merujuk kepada Kesatuan Sekerja Pekerja-pekerja Dawana baru-baru ini adalah suatu yang amat tidak profesional. Hal itu ditegaskan oleh ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dalam sidang medianya membela nasib pekerja syarikat Dawama yang juga merupakan syarikat berkaitan Dewan Bahasa dan Puskata serta kerajaan Malaysia.
“Amat membebankan buat sekalian 380 pekerja Dawama apabila tidak dibayar gaji bulan Julai kini diberi notis cuti tanpa gaji yang juga tidak menetapkan tempoh sehingga bila berkuatkuasa.
“Bersama dengan pimpinan PKR yang lain hari ini, YB Azmin Ali dan YB Abdullah Sani, kami mahu suatu keadilan buat pekerja Dawama. Usah biarkan pekerja-pekerja yang teraniaya ini terus tertekan dan terbeban untuk menghadapi Ramadan dan Aidilfitri yang juga akan menjelang tidak lama lagi.
“Mewakili 80 pekerja-pekerja wanita Dawama yang teraniaya, saya menyokong usaha dan gesakan Persatuan Sekerja Dawama agar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan dalam isu ini.
“Apa yang berlaku ini menunjukkan suatu bukti kegagalan dasar penswastaan oleh Kerajaan Pusat BN. Penjanjian antara Dawama-DBP-Kerajaan harus dikaji serta-merta agar nasib dan hak pekerja Dawama ini terbela,” katanya.