Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat serius kenyataan Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir berhubung calon-calon Barisan Nasional (BN) Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13.
Kononnya BN Perak menjanjikan calon yang terbaik dengan menggunakan istilah Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yakni winnable dan likeable candidate sebagai asas memilih calon BN walaupun menyedari hakikatnya ia hanya bersifatkan teori semata-mata kerana banyak pihak tidak berpuas hati dengan kenyataan Zambry tersebut.
Demikian dinyatakan oleh Setiausaha, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Haji Saleh yang menganggap BN Perak akan menghadapi masalah untuk membalas budi penyandang kerusi dari Adun PR yang melompat dan menjadi Adun Bebas waktu ini.
“Bagaimanakah kedudukan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang menyokong BN? Adakah ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh yang keluar DAP dan kini telah menyertai PPP terselamat untuk kembali bertanding pada PRU 13 kerana sudah menyertai Komponen BN?
“Apakah kedudukan tiga orang lagi ADUN yang masih berstatus Bebas? Adakah mereka akan bertanding dalam PRU 13 nanti? Adakah BN akan menawarkan mereka bertanding atas tiket BN? Jika semua kenyataan Datuk Seri Zambry tersebut diambil kira, keempat-empat ADUN Bebas tersebut telah berjaya menang pada PRU 2008 lalu dan sedang memberikan perkhidmatan atas nama BN. Melalui maklumat yang diterima, kesemua mereka memang berhasrat untuk kekal bertanding dan menjadi calon BN pada pilihanraya kali ini,” katanya.
Menurut Salman tidak seperti PR yang bebas memilih calon keberhutangan budi BN ini jika tidak dibalas dengan sebaiknya tentulah akan memusnahkan peluang mereka untuk menang dikerusi yang dipertandingkan.
“Banyak persoalan yang sedang bermain difikiran Datuk Seri Zambry di dalam menentukan calon BN kali ini. Ketika ini, MCA sudah mengarahkan semua Bahagian masing-masing menyerahkan senarai calon-calon yang mewakili mereka. MIC pula telah memberikan kata dua untuk mengekalkan kerusi yang ditandingi mereka pada PRU 12 lalu walaupun kesemua calonnya kalah.
“PPP juga sedang memastikan agar Keshvinder akan kekal menjadi calon bagi mewakili BN dikerusi Malim Nawar sekali lagi. Adakah Dato’ Tan Lian Hoe wakil tunggal Gerakan akan kekal di Parlimen Kawasan Gerik? Ini bermakna rakan Komponen Umno dalam BN Perak mahu mereka diberikan kerusi dengan calon mereka sendiri walaupun mungkin tidak memenuhi Key Performance Indicator (KPI) Datuk Seri Zambry sebagai Pengerusi BN Perak,” tambah Salman.