PKR kesal dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS hari ini yang bertindak memutuskan tahaluf siyasi antara kedua-dua parti.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut atas kebebasan PAS untuk membuat suatu pendirian politik.
“PKR menzahirkan kekesalan terhadap keputusan yang dibuat oleh badan tertinggi PAS iaitu Majlis Syura Ulama namun menghormatinya atas kebebasan PAS membuat suatu pendirian politik.
“Pada masa yang sama, PKR menolak tohmahan Majlis Syura Ulama PAS bahawa PKR menentang agenda Islam, melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik dan khianat dalam hubungan politik dengan PAS,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, rekod menunjukkan PKR kekal sebagai sebuah parti pelbagai kaum, komited memperjuangkan agenda rakyat dan membanteras rasuah dan penyelewengan
PKR juga akan terus mendedahkan salah urus dan tatakelola pemerintah dan teguh memupuk dan memelihara kerjasama akrab dan solidariti sesama rakan-rakan pembangkang, tambahnya.
“Pimpinan PKR akan segera berbincang dan mengambil pendirian terhadap keputusan Majlis Syura Ulama PAS,” jelas beliau lagi. – Mkini