Kerajaan campuran yang dianggotai ahli-ahli politik mahir akan menggantikan BN, kata Tun Mahathir.
“Sesungguhnya tidak ada Kerajaan yang begitu buruk dan berjenayah besar seperti Kerajaan Najib.
“Kerajaan yang bercadang mengganti Najib ialah Kerajaan parti-parti campuran pembangkang yang akan dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang mahir dalam politik dan dibantu dengan mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.
“Mereka tidak ada rekod jenayah atau menyalahguna kuasa. Mereka terpelajar dan pernah menjadi anggota Kerajaan,” jelasnya dalam tulisan terbaru di blognya hari ini.
Beliau juga mempersoalkaan apakah mungkin gabungan parti-parti lawan menang dalam PRU14?
Terkini semalam keputusan Majlis Syura Ulama Pas sudah pasti akan berlaku pertandingan tiga penjuru .
“Besar kemungkinan mereka menang jika pertandingan hanyalah antara mereka dengan Barisan Nasional.
“Tetapi ada parti-parti yang kononnya akan letak calon untuk melawan Najib dan BN. Dengan ini akan berlakulah pertandingan tiga atau empat penjuru.
“Kesannya ialah pengundi yang berhasrat mengalahkan Najib akan berpecah dua atau tiga. Penyokong Najib, kerana sebab-sebab tertentu akan bersatu mengundi BN. Najib akan menang kerana berpecahnya undi pembangkang.
“Dengan perkataan lain parti-parti yang memecahkan pengundi penentang sehingga pertandingan menjadi tiga atau empat penjuru, sebenarnya menyokong BN dan Najib,” terangnya.
Justeru Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini menegaskan, perbuatan tersebut ujarnya, menjadi satu jenis pengkhianatan kepada usaha menjatuhkan Najib dan menghentikan kerosakan kepada negara.
“Najib akan teruskan cara pentadbiran yang umum tahu akan memufliskan negara dan meletaknya di bawah kuasa asing,” ujarnya.
Bahkan keadaan politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat negara ini hanya akan boleh diatasi sekiranya kerajaan di bawah pimpinan Najib ini diganti dengan kerajaan baharu, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Bidang politik, ekonomi dan sosial telah jadi buruk kerana dasar dan pengurusan Najib, ia akan menjadi lebih buruk lagi jika Najib terus berkuasa.
“Hanya jika Kerajaan pimpinan Najib diganti dengan kerajaan baru sahaja barulah boleh keadaan politik, ekonomi dan sosial dipulih semula,” ujarnya. – MD