Dua Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub memfailkan saman malu terhadap Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan Inspektor Mohd Zaid Madzizat masing-masing pada pukul l0.30 pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurut Salahuddin, saman itu difailkan kerana polis melakukan penahanan di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki mereka pada hari perhimpunan Bersih 9 Julai lalu.
Kedua-dua Naib Presiden PAS itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Selain itu, mereka juga menuntut faedah pada kadar 8 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh.
Pada sidang medianya, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena memberitahu tindakan saman dibuat sebagai memberi peringatan dan pengajaran kepada pihak kerajaan agar tidak melakukan sesuatu sesuka hati di luar undang-undang.
“Kami anggap tangkapan ini telah memberi gambaran buruk kepada kami seolah-olah kami melakukan kesalahan.
“Jumlah tuntutan gantirugi kita akan bincang dengan peguam, namun saya kira tidak kurang dari RM1 juta,” katanya.
Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian pula turut sependapat bahawa tindakan saman itu sebagai teguran kepada kerajaan dan pihak polis.
“Ini bukan untuk diri kami tetapi sebagai teguran agar kerajaan bertindak secara adil,” katanya.
Mereka ditangkap kira-kira pukul 11.50 pagi sebelum ditahan hampir 10 jam di lokap polis di Balai Polis Jinjang.
Sepanjang dalam tahanan juga, pihak polis tidak mengambil apa-apa keterangan, tidak diberitahu sebab-sebab penahanan mereka dan juga tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.
Saman itu difailkan menerusi syarikat guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co bersama peguam Zulhazmi Sharif, masing-masing di Mahkamah Tinggi Jalan Duta kira-kira jam 10.30 pagi tadi.