PKR akan menggunakan strategi sama yang digunakan pada 2009 untuk menjadikan Anwar Ibrahim perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya merampas kuasa dalam pilihan raya umum akan datang- dengan mewujudkan pilihan raya kecil apabila Anwar sudah layak bertanding.
Kali ini, Anwar akan dibebaskan melalui pengampunan diraja sebaik sahaja PKR dan rakan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan persekutuan dengan memenangi Pilihan raya Umum Ke 14, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
“Pendapat umum kata PKR syok sendiri macam mana nak jadikannya (Anwar) perdana menteri sebab dipenjara, sebab itu ada pengampunan diraja.
“Bila PH menang PRU, Anwar Ibrahim akan jadi perdana menteri dan saya yakin Wan Azizah sebagai interim prime minister (perdana menteri peralihan) dan Anwar sebagai perdana menteri.
“Dalam masa sebulan saya yakin Wan Azizah sebagai perdana menteri peralihan boleh diusahakan dan Anwar dibebaskan. Pada bulan kedua masuk pilihanraya kecil angkat Anwar jadi perdana menteri. Jangan kata saya gila, tak masuk akal,” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional PKR di Shah Alam hari ini.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara atas tuduhan meliwat bekas pembantunya. Dia dan pemimpin pembangkang yang lain mendakwa tuduhan tersebut didalangi Perdana Menteri Najib Razak.
Hukumannya itu menghalangnya melayakkan diri untuk bertanding, melainkan beliau mendapat pengampunan diraja.
Pada pilhan raya 2008, Anwar masih dihalang untuk bertanding disebabkan hukuman penjara selama enam tahun sebelum ini atas kesalahan salahguna kuasa.
Kemudian, pada 2009 beliau berjaya melayakkan dirinya bertanding dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika itu melepaskan jawatan tersebut untuk memberikan peluang suaminya bertanding di situ. – THI