PKR membayangkan untuk mengekalkan semua 30 kerusi yang dimenanginya pada PRU 13 lalu.
Setiauasaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution berkata demikian pada kongres tahunan parti itu hari ini.
“Mana-mana tempat yang kita menang kita tak boleh beri kepada sesiapa. 30 kawasan Parlimen yang kita menang tidak boleh diberi kepada sesiapa.
“Malah kawasan yang kita kalah pilihan raya lepas, kita akan berjuang untuknya juga,” katanya.
Semasa PRU13 lepas, PKR bertanding di 99 kerusi Parlimen dan menang 30 berbanding rakan pakatan ketika itu PAS yang menang di 21 kerusi selepas bertanding di 73 kerusi. DAP pula menang 38 kerusi di 51 kerusi yang ditandingini.
Saifuddin juga berkata yang dia akan mencadangkan kepada pemimpin PKR supaya semua calon mereka mengisytiharkan aset sebelum menyertai parti.
“Kerana itu saya mahu mencadangkan supaya semua calon diperlukan untuk mengisytiharkan aset mereka, kerana satu-satunya perkara yang membezakan kita dengan parti lain ialah kita mempunyai pegangan moral yang lebih tinggi,” katanya.
Dia menambah yang dia tidak teragak-agak mengisytiharkan asetnya sekiranya dia bertanding dalam pilihan raya.
“Sekiranya jadi kenyataan, saya akan isytiharkan semuanya, kereta saya, telefon saya, rumah, semuanya. Saya akan beritahu semua perkara,” katanya.
Ini susulan kes terbaru apabila Ketua Pemuda PKR Ampang Adam Rosly diminta mengisytiharkan asetnya selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendesak Adam mengisytiharkan asetnya seleas SPRM mula menyiasatnya bulan lepas- THI.