Ketua Angkatan Muda Malaysia Shamsul Iskandar Mohd Akin mengecam tindakan kasar polis dalam menahan dan memukul para penunjuk perasaan anti-Mubarak di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat semalam. Sambil menganggap tindakan polis sebagai sangat tidak profesional, Shamsul juga memberi amaran agar kerajaan Malaysia menangambil iktibar daripada kebangkitan rakyat Mesir.
“Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyatakan kekecewaan terhadap tindakan yang diambil oleh pihak polis dalam Perhimpunan Anti-Mubarak yang berarak daripada Masjid KLCC ke Kedutaan Amerika. Kami merasakan penahanan 7 orang demonstran anti-Mubarak adalah tidak profesional.
“Kekasaran dan penahanan ini memperlihatkan bahawa kerajaan kita pada hari ini mengambil pendirian Pro-Mubarak. Sikap tidak professional ini juga membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengambil iktibar daripada kebangkitan rakyat di Mesir,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Oleh yang demikian AMK berpendirian bahawa tindakan kasar pihak berkuasa di kedua-dua negara perlu dikutuk sekeras-kerasnya.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Malaysia khususnya pihak polis dalam mengasari demonstrasi Anti-Mubarak.Kerajaan sama sekali tidak menghormati hak dan kebebasan rakyat untuk berhimpun dan menyatakan sokongan kepada rakyat Mesir.
“Oleh itu kami mendesak Ketua Polis Negara untuk menyiasat pihak polis yang bertindak secara tidak professional dan menggunakan kekerasan.Kami juga mendesak agar 7 demonstran yang ditahan dengan cara zalim dibebaskan segera,” katanya.