Tun Dr Mahathir Mohamad memuji Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menjadi “korban yang amat besar” dengan mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa masih dalam kerajaan.
Pengerusi PPBM itu membidas kritikan sesetengah ahli parti terhadap Muhyiddin, mengatakan tindakan mereka hanya memecahbelahkan parti untuk membantu Najib membawa BN menuju kemenangan pada pilihan raya umum akan datang (PRU14).
“Muhyiddin memegang jawatan timbalan perdana menteri kerana menjadi timbalan presiden Umno. Jika Najib turun kerana apa-apa sebab Muhyiddinlah yang akan jadi perdana menteri,” kata Dr Mahathir di blognya hari ini.
Beliau berkata Muhyiddin dan bekas menteri Umno Datuk Seri Shafie Apdal membenarkan diri mereka disingkir dari parti dan kerajaan pada 2015, menyifatkan tindakan mereka sebagai “korban yang amat besar”.
Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri dari 1981 hingga 2003, menambah Muhyiddin tidak menjauhkan diri selepas itu tetapi membantu menubuhkan PPBM.
“Beliau menerima cadangan saya supaya saya menjadi pengerusi parti, kedudukan yang dipandang lebih tinggi darinya.”
Beliau berkata Muhyiddin bekerja kuat untuk menjayakan PPBM, lebih daripada mereka yang mencadangkan penyingkirannya.
“Jika hari ini ia disingkir, parti akan berpecah kerana ramai ahli parti yang menyokongnya. Maka akan gagallah usaha memenangi PRU14.”
Pada 20 Mei lepas, ketua pendaftar PPBM Perak Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar menuntut Muhyiddin meletak jawatan selepas majoriti daripada 24 bahagian negeri itu dilaporkan mempertanggungjawabkan beliau untuk masalah yang dihadapi parti di peringkat persekutuan dan negeri.
Pada awal April, kira-kira 500 ahli PPBM Rembau keluar parti, mendakwa mereka tidak meyakini kepimpinan Muhyiddin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Selepas itu, ahli majlis tertinggi Kamarulazman Habibur Rahman pula meletak jawatan, mendakwa hala tuju PPBM dirampas bekas ahli Umno yang hanya mahukan kuasa dan kedudukan.
Dr Mahathir percaya mereka yang menyeru Muhyiddin disingkir mahu menggagalkan usaha PPBM menewaskan BN pada PRU14.
“Sekaligus mereka ingin lihat saya gagal dan Najib berjaya.
Mereka yang mendakwa mereka sokong saya, sebenarnya adalah musuh saya yang berjuang untuk Najib.”
Beliau berkata jika mereka teruskan usaha itu, beliau akan bersetuju mereka dikeluarkan dari parti.
“Penyokong Najib tidak ada tempat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.”
Dr Mahathir berkata tidak mudah menyakinkan pemimpin Umno, terutamanya yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk meninggalkan parti.
Kalaupun mereka meninggalkan parti, mereka tidak beriani mendekatkan diri dengan PPBM yang lantang mendesak Najib disingkir, katanya. – FMT