Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan merangkap Penyelaras AMANAH Parit, Perak Datuk Tarmizi Mohd Jam menyelar Ahli Parlimen Parit, Datuk Zaim Abu Hassan yang masih berteka teki dengan status terkini pembinaan Hospital Seri Iskandar, hospital baharu bagi Daerah Perak Tengah menggantikan Hospital Desa Changkat Melintang yang sudah tidak mampu menampung keperluan penduduk.
Menurut Tarmizi, hospital itu telah dijanjikan sejak 2014 lagi namun masih tidak kelihatan tanda-tanda pembinaan sehingga ke hari ini.
“Utusan Online 5 Oktober 2014 pernah melaporkan MB Perak, Dr Zamry Abd Kadir mahu Hospital Seri Iskandar dibina secepat mungkin pada tahun 2015.
“Oleh itu, rata-rata penduduk di sini tertanya-tanya perkembangan muktahir berkenaan projek yang telah dilulus di atas tanah seluas 12.1 hektar di bekas tapak Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Seri Iskandar yang menelan kos RM150 juta dan bakal memuatkan 150 katil,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memuatkan status terbaharu petikan laporan akhbar yang menyatakan kontraktor untuk membina hospital itu telah pun dilantik sejak tahun lalu. Bagaimanapun, katanya, projek tersebut masih belum dimulakan.
“Menurut laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 7 September 2016, Datuk Zaim memberitahu, majlis pecah tanah dan pembinaannya bakal dimulakan Februari tahun 2017, kontraktor juga sudah dilantik dan beliau pertegaskan perkara ini pada Program Sehari Bersama Warga Emas anjuran Klinik Kesihatan Bota Kiri bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bota Kiri di Akademi Latihan Kemas.
“Datuk Zaim juga telah memugar perkara ini sebagai bahan kempen pilihanraya BN kepada pemberita ketika ditemui media selepas proses penamaan calon di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Seri Iskandar 2008 (PRU12) lagi seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang turut dihadiri sama dua lagi calon BN, iaitu Nasarudin Hashim (Dun Bota) dan Mohd Nizar Zakaria (Parlimen Parit).
“Namun, sehingga hari ini 31 Mei 2017, bayang hospital baharu berkenaan yang akan menjadi hospital daerah manakala Hospital Changkat Melintang menjadi klinik kesihatan belum dapat dilihat walaupun tapak projek apatah lagi rangka bangunan.
“Sehubungan itu AMANAH Parit mendesak Datuk Zaim memperjelaskan kedudukan sebenar projek Hospital Seri Iskandar ini, yang telah menjadi bahan kempen BN dalam PRU12, PRU13 dan sudah tentu ia akan diputar lagi dalam PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja,” katanya lagi.