Penjualan 20 peratus saham syarikat penerbangan awam MAS kepada entiti swasta Air Asia terus menerima pelbagai reaksi. Terbaharu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menimbulkan persoalan apakah urusniaga itu telah mendapat restu pemegang saham minioriti MAS. Beliau juga mempertikaikan apakah pembelian itu akan mengulang skandal penjualan saham MAS kepada ahli korporat Tajuddin Ramli suatu ketika dahulu.
“Banyak perkara masih belum jelas dalam pembelian saham ini. Adakah MAS telah mengadakan mesyuarat agung dan mendapat persetujuan pemegang saham minioriti sebelum menjual 20 peratus saham? Kerajaan juga dalam hal ini harus menjelaskan liabiliti kedua-dua syarikat, mana lebih banyak. Begitu dengan keuntungan kedua-dua buah syarikat.
“selain itu, kita ingin tahu mengenai kedudukan Fire Fly, perkhidmatan tambang murah di bawah MAS. Adakah dengan pengambil-alihan saham oleh Air Asia ini Fire Fly tidak akan menjadi pesaing kepada Air Asia? Jika menjadi pesaing apakah yang akan dituntut oleh Air Asia nanti? Adakah perkhidmatan Fire Fly akan dikecilkan? Jika pergabungan ini berakhir apakah pula yang akan terjadi selepas itu kepada Fire Fly?” Soal Mahfuz dalam sidang media di Bangunan Pejabat Agung PAS hari ini.
Mahfuz menyatakan kebimbangannya bahawa pembelian ini akan mengulangi kesilapan pentadbiran era Dr Mahathir pada pertengan 1990an lalu yang mejual saham MAS kepada Tajuddin Ramli. Akibatnya MAS rugi dan Tajuddin menyerahkan kembali syarikat yang tenat itu kepada kerajaan untuk dipulihkan.
“Kita tidak mahu penjualan saham ini mengulang apa yang berlaku semasa pemerintahan Dr Mahathir. MAS yang setaraf syarikat penerbangan Singapura SIA, Cathay Pasific dan sebagainya dijual kepada Tajuddin Ramli. Kemudian MAS mengalami kerugian RM8 bilion tetapi sampai sekarang tidak dipertanggungjawabkan kepada sesiapa pun.
“Apabila kes itu dibawa ke mahkamah, ada pula usaha untuk menaraik balik kes dari kesemua GLC yang terlibat (fail saman). Kita tidak mahu mengulangi sejarah lama. Melihat kepada pendekatan yang kurang telus dalam penjualan saham MAS ini boleh jadi suatu hari nanti Air Asia akan mengambil alih MAS dan bermula kembali era ekonomi lama itu,” tegas Mahfuz.
Pada suku pertama tahun ini MAS mengalami kerugian sebanyak RM243.3 juta berbanding keuntungan sebanyak RM310.60 juta untuk tahun 2010. Kerugian ini mendorong kerajaan menjual sahamnya kepada Air Asia