Hasil daripada penjualan Proton perlu terlebih dahulu digunakan untuk membayar balik pinjaman mudah kerajaan sebanyak RM1.5 bilion kepada pemilik pembuat kereta nasional masa kini, DRB-Hicom, kata ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
Memandangkan urus niaga ini mengundang lebih persoalan, langkah ini akan memastikan 49.9% penjualan kepentingan konglomerat itu dalam Proton Holdings Bhd kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd di akhirnya tidak akan membebankan pembayar cukai, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua
“(Perdana Menteri) Najib Razak perlu memastikan penjualan 49.9% daripada Proton kepada Geely oleh DRB-Hicom bukan untuk melindungi bantuan kewangan bernilai berbilion ringgit (kepada DRB-Hicom),” tulis Pua dalam satu kenyataan hari ini.
“Beliau perlu memastikan hasil daripada aset yang diambil daripada Proton mesti digunakan untuk membayar RM1.5 bilion pinjaman mudah kerajaan dan tidak disalurkan pemegang saham, DRB-Hicom.”
Pua menjelaskan DRB-Hicom, yang dimiliki jutawan Syed Mokhtar Al-Bukhary, berkemungkinan memperolehi RM540 juta daripada nilai aset Proton melalui 49.9% saham yang dijual kepada Geely.
DRB-Hicom juga boleh mendapat manfaat penjualan sebanyak 100 juta pound (RM556 juta) syarikat kereta British Lotus – yang dimiliki Proton – kepada Geely, tulis Pua.
Pulangan ini adalah tambahan kepada geran penyelidikan RM1.1 bilion daripada kerajaan untuk Proton yang akan “dipulangkan” kepada DRB-Hicom dan RM250 juta, selain pinjaman mudah RM1.25 bilion untuk syarikat diselubungi masalah itu.
Proton, kata Pua, akan dilucutkan asetnya apabila Lotus dijual kepada usaha sama diterajui Geely dan asetnya akan dipindahkan kepada DRB-Hicom.
Urus niaga DRB-Hicom dengan Geely dilakukan selepas DRB-Hicom kerugian ratusan juta dalam tempoh dua tahun kewangan sebelum ini, kata Pua.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017 dan 2016, DRB-Hicom mencatatkan kerugian RM260.4 juta dan RM871.6 juta, tulis Pua.
Harga saham DRB-Hicom menurun sebanyak 56% daripada RM2.60 pada akhir 2012 kepada RM1.15 pada akhir 2016, katanya.
“Persoalan yang rakyat Malaysia tanyakan adalah mengapa perdana menteri membenarkan DRB-Hicom mendapat manfaat berbilion ringgit dengan membantu mereka melupuskan separuh kepentingan dalam Proton, syarikat yang tidak menguntungkan?”
“Memandangkan faktor di atas, kerajaan perlu menyekat pemindahan wang tunai dan aset kepada DRB-Hicom kecuali pinjaman mudah kerajaan dibayar balik terlebih dahulu.
“Dalam erti kata lain, hasil 100 juta pound penjualan Lotus dan RM540 juta pemindahan harta kepada DRB-Hicom tidak boleh dibenarkan sehingga dan melainkan kerajaan dibayar terlebih dahulu.
“Jika tidak, penjualan Proton hanya menjadi alasan untuk bukan sahaja menjual aset Proton, tetapi supaya Syed Mokhtar dan DRB-Hicom mendapat manfaat berbilion ringgit dalam proses yang merugikan pembayar cukai Malaysia.” – TMI