CEO Felda Global Ventures Holdings Bhd Zakaria Arshad yang digantung jawatan mendakwa syarikat perladangan itu meneruskan pelaburan yang “tidak masuk akal” walaupun dia membantah, lapor StarBiz hari ini.
Antara lain, dia mendakwa diketepikan dalam keputusan melabur dalam Felda Cambridge Nanosystems Ltd, untuk mengeluarkan nanokarbon.
Zakaria berkata yang anak syarikat Felda itu sedang mencari £100 juta (RM550 juta) untuk mengembangkan operasi selepas kerugian RM117 juta dalam masa empat tahun.
“Bagi saya, ini tidak masuk akal, kami adalah syarikat perladangan,” kata Zakaria.
Katanya pada mulanya ahli lembaga pengarah FGV bersetuju dengan desakannya untuk menarik pelaburan daripada syarikat itu, tetapi mengubah fikiran mereka tiga minggu kemudian di London untuk membenarkan pengembangan operasi itu diteruskan.
Zakaria berkata dia juga membatah membayar RM300 juta untuk pegangan 30% dalam sebuah kilang krimer di Klang.
“Mengapa saya hendak bagi RM300 juta untuk perniagaan bukan teras? Mereka juga ketepikan (keputusan saya dan) walaupun exco sendiri tidak bersetuju, pelaburan itu masih diteruskan,” katanya.
Zakaria berkata dua contoh itu daripada banyak lagi keputusan perniagaan di mana pandangannya diketepikan.
“Ada lagi banyak contoh, rundingan terus, kontrak terus…saya diberi kepercayaan untuk menguruskan syarikat ini tetapi apabila saya mahu bertindak tegas, ini pula yang berlaku.
Zakaria, bersama dengan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Ahmad Tifli Mohd Talha, diarahkan untuk bercuti hari ini sementara menunggu siasatan atas tunggakan bayaran syarikat Afghanistan, Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP).
Laporan awal menyebut yang Zakaria enggan mematuhi arahan untuk meletakkan jawatan.
Zakaria menafikan dia melakukan kesalahan membenarkan Safitex melakukan pembelian tanpa surat kredit, yang menyebabkan kelewatan pembayaran. Katanya, pembelian Satifex diluluskan CEO sebelumnya, dan syarikat Afghanistan itu sudah menjadi pelanggan DOP sejak 20 tahun lalu dengan rekod bayaran yang baik.
Dia juga dilaporkan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat perkara itu.
“Saya juga bersedia untuk disiasat dan mendesak SPRM untuk menyiasat FGV supaya apa sahaja salah laku dalam syarikat dapat dibongkar.” – TMI