Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak nampak kewajaran atas tindakan kerajaan melantik Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali bagi meneliti isu Felda Global Ventures (FGV).
Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri berpendapat kerajaan sepatutnya melantik firma akauntan bebas bagi menyelesaikan krisis Felda.
“Yang saya agak musykil dan tak berapa faham, kenapa Idris Jala dilantik untuk meneliti masalah FGV.
“Saya rasa lebih elok syarikat audit bertauliah atau syarikat lebih bebas yang tak ada kepentingan dengan perdana menteri atau kerajaan. Sebab kita nak tau apa krisis yang berlaku, apa sebabnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan, kerajaan melantik Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana berkenaan untuk meneliti arahan bercuti kepada Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad dan tiga lagi pegawai kanan FGV.
Idris, presiden dan CEO Pemandu Associates Sdn Bhd diminta untuk meneliti fakta kes dan mencadangkan penyelesaian. – Mkini