Koordinator Deklarasi Rakyat, Khairuddin Abu Hassan mempertikaikan perlantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala untuk membantu siasatan dalaman di Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV)
Katanya, Idris tidak mempunyai kepakaran dalam bidang siasatan dan tidak pula mempunyai rekod menyiasat mana-mana jabatan kerajaan sebelum ini.
“Adakah Idris Jala mempunyai rekod cemerlang di bidang siasatan selama ini? Oleh itu apakah motif melantik Idris dan hasil siasatannya kelak kepada siapakah bekas menteri ini akan melaporkan?!
“Tindakan ini nampaknya seperti mempunyai motif tertentu untuk pihak kerajaan kleptokrasi mengumpul matlumat-matlumat salahlaku FGV dan mungkin menyenangkan mereka untuk membuat percaturan tertentu dalam kes ini
“Negara kita mempunyai satu badan profesional, iaitu SPRM dengan tenaga pakar yang mencukupi bagi menyiasat kes skandal FGV. Jadi pada hemat saya Idris tidak diperlukan langsung bagi membabitkan dirinya terlibat dalam proses siasatan ini.
“Saya tak terkejut kalau kerajaan kleptokrasi melantik Ketua Audit Negara atau mana-mana bekas Ketua Audit Negara untuk membuat siasatan secara dalaman. Kemungkinan adalah sikit logiknya (berbanding melantik Idris),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Khairuddin lagi skandal FGV mesti disiasat secara professional, telus dan bebas. Katanya, hanya SPRM yang mendapat keyakinan awam mampu melakukan siasatan secara bebas.
“Itu kepakaran SPRM. Walaupun kredibiliti SPRM pada hari ini amat tercalar namun sebagai badan pencegahan rasuah biarlah mereka memikul tanggungjawab secara jujur, telus, amanah serta profesional untuk menyiasat polemik negara kedua ini selepas kes skandal 1MDB.
“Saya amat yakin akhirnya kebenaran akan timbul dan sesiapa saja yang terlibat di dalam kes skandal FGV serta Felda ini mesti ditangkap, dibicarakan dan dihukum.
“Sekiranya didapati bersalah harus disumbat ke penjara kerana mengkhianati seluruh rakyat Malaysia dalam amalan korupsi,” katanya lagi.