Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa menyifatkan rancangan Pakatan Harapan memilih perdana menteri interim sebagai langkah yang praktikal.
Di kongres PKR lepas, ahli PKR, DAP dan Amanah mengangkat plakad “Anwar PM ke-7” sebagai tanda sokongan kepada idea menamakan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.
Laporan mengatakan Anwar dijadualkan bebas tahun depan selepas menjalani 3 tahun pemenjaraan dari hukuman 5 tahun kerana meliwat pembantunya.
Beliau perlu menunggu 5 tahun selepas dibebaskan sebelum layak bertanding lagi jika PH menawan Putrajaya.
Keluarga Anwar juga mungkin memohon pengampunan diraja untuk beliau.
Mujahid berkata semangat reformasi Anwar masih hidup dalam pakatan pembangkang dan parti komponen ternanti-nanti kepulangan beliau ke arean politik.
Anwar akan menjadi pembawa obor dan pemimpin moral pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum nanti, katanya.
“Kita perlu lihat perkara ini secara praktikal. Bagaimana Anwar boleh memimpin dari penjara?
“Walaupun saya mahu Anwar menjadi perdana menteri, saya perlu praktikal dan tidak boleh menjejaskan sistem.
“Barangkali Anwar boleh memimpin secara moral, tetapi kita perlukan seseorang untuk menjadi pemimpin di medan. Kita tidak mengabaikan faktor Anwar,” katanya kepada pemberita di sesi buka puasa di Jelutong semalam.
Mujahid memahami keresahan PKR mengenai isu PM itu.
Beliau berkata PKR sepatutnya bertenang kerana PH mengiktiraf usaha Anwar, terutamanya memberikan undi popular kepada mereka pada pilihan raya umum lepas.
Mujahid berkata pembangkang menghadapi kesukaran untuk menembusi kawasan BN sejak sedekad lalu dan PPBM mesti sedar mereka pendatang baharu.
Namun begitu, Mujahid merasakan PPBM dan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad penting kepada pakatan pembangkang dan bekas perdana menteri itu menyedari status Anwar sebagai perdana menteri menanti.
Mujahid berkata PPBM menunjukkan mereka mahu menjadi rakan PH untuk jangka masa panjang bagi memastikan BN tersingkir pada pilihan raya nanti.
Mujahid berkata “faktor perbatuan terakhir” juga penting dan yakin “undi yang diperlukan” untuk menang pada pilihan raya nanti boleh didapatkan melalui Dr Mahathir.
“Pembangkang sudah membuka jalan selama kira-kira 10 tahun atau lebih dan kini menerima PPBM dengan tangan terbuka.
“PPBM tidak pernah kata ‘tidak’ kepada Anwar, tetapi mereka pastikan suara mereka didengari mengenai siapa yang boleh memimpin. Itu hak mereka untuk berkata demikian.
“PPBM akan membolehkan kita capai puncak – iaitu menjadi kerajaan persekutuan,” katanya. – FMT