Teguran PM Najib Razak agar wartawan dan media melaporkan berita positif mengenai negara dianggap tidak kena pada tempatnya.
Penganalisis ekonomi, Albert Kwok berkata, pemimpin kerajaan haruslah terlebih dahulu tidak terlibat dalam korupsi dan menjadi sensasi media antarabangsa agar berita yang dilaporkan media dalam negara lebih baik daripada sebelum ini.
“Isu kewangan dan ekonomi terutamanya 1MDB yang tidak reda di peringkat antarabangsa serta siasatan yang masih dijalankan adalah suatu berita yang tidak mungkin dipadamkan dari perhatian masyarakat dunia.
“Oleh itu, bukan senang untuk kita sebagai rakyat menekankan berita yang positif sahaja sebab masyarakat antarabangsa akan berpendapat rakyat Malaysia bodoh kalau kita tidak melaporkan mengenai 1MDB,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Albert juga berpendapat Malaysia telah tercebur ke jurang rasisme yang dalam. Katanya, suatu ketika dahulu berita keharmonian kaum dalam negara ini menjadi berita positif yang berguna untuk menjual nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Namun sejak kebelakangan ini terdapat insiden-insiden menggugat keharmonian di antara kaum dan ini tidaklah sebaik yang diheboh-hebohkan.
“Selain daripada itu, kebergantungan negara kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan untuk menampung ekonomi menunjukkan pengurusan kewangan lemah. Dan ini memang tidak akan menjadi berita positif kepada dunia luar,” sambungnya.
Beliau juga berpandangan jika Pakatan Harapan kalah sekali lagi dalam pilihan raya umum kali ini, warga Malaysia akan menjadi bahan lawak jenaka kerana seluruh dunia tahu mengenai isu 1MDB dan ia akan menghairankan mereka bahawa rakyat Malaysia tidak mampu berfikir kerana terus mengundi pemimpin-pemimpin yang mencemar nama negara.
“Ada seorang usahawan dari negara Jepun pernah bertanya kepada saya: ‘Tidakkah rakyat Malaysia tahu serba-serbi pasal isu 1MDB? Mengapa rakyat Malaysia seolah-olah tidak pedulikan isu besar sebegini?’
“Saya berani kata sangat sukar untuk kita memberi berita yang positif tanpa menyiar berita yang sebenar. Kerajaan kita sendiri patut sedar imej negara sudah banyak terjejas melalui 1MDB dan sehingga hari ini tiada penjelasan yang sempurna telah diberi perihal 1MDB ini,” tambah Albert.