Keputusan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan dicalonkan sebagai perdana menteri adalah strategi untuk menghalang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menguasai Pakatan Harapan, kata Geostrategis Azmi Hassan.
Beliau berkata, kesepakatan Bersatu dalam Pakatan Harapan adalah kerana faktor Anwar dan dengan pengumuman itu ia dilihat sebagai isyarat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada mempertimbangkan semula cadangan partinya untuk memegang jawatan Pengerusi dan Presiden dalam Pakatan Harapan.
“Datuk Seri Anwar enggan dicalonkan sebagai PM jika Tun M dan Tan Sri Muhyiddin ambil alih Pakatan Harapan sebagai strategi untuk menghalang Bersatu kuasai Pakatan Harapan.
“Tidak dinafikan sepakatnya Bersatu adalah kerana faktor Anwar dan pengumuman beliau ini adalah sebagai isyarat kepada pemimpin Bersatu.
“Ini kerana sudah pasti penyokong Pakatan Harapan akan membantah keputusan Anwar itu. Ini sekali gus isyarat bantahan terhadap Tun M dan Muhyiddin untuk menerajui Pakatan Harapan jika gabungan itu menang pilihan raya umum,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Anwar semalam, yang tidak akan menawarkan diri sebagai calon untuk jawatan perdana menteri jika gabungan itu menang pilihan raya, sebaliknya mahu Bersatu menimbang semula cadangan mengisi kedua-dua jawatan pengerusi dan presiden dalam gabungan itu seperti dicadangkan Bersatu sebelum ini.
Azmi Hassan Bagaimanapun, usul Bersatu untuk merombak struktur Pakatan Harapan dengan pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan pengerusi dan presiden dikhuatiri akan merombak kerangka pakatan itu menjadikannya mirip BN, kata Anwar dalam kenyataannya.
Justeru Anwar menegaskan, kesediaan semua pihak dalam gabungan itu untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal pakatan tersebut adalah dialukan.
Dalam hal ini menurut Azmi lagi, kedudukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP Lim Kit Siang tidak boleh diketepi dalam hirarki gabungan itu jika Dr Mahathir dan Muhyiddin menerajuinya.
“Jika berlaku peralihan kuasa dalam Pakatan Harapan kepada Tun M dan Tan Sri Muhyiddin maka sukar untuk Datuk Seri Wan Azizah dan Kit Siang berada dalam barisan kepimpinan gabungan itu kerana antara Bersatu dengan PKR dan DAP memiliki gaya kepimpinan dan penyokong yang berbeza.
“Sebab itu kepimpinan Pakatan Harapan sedaya upaya cuba mengekalkan status quo Pakatan Harapan,” ujarnya.
Respon kepada keputusan Anwar itu juga Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff dalam satu kenyataan pula dipetik berkata, bahawa cadangan Anwar agar pengerusi Pakatan Harapan bertindak selaku penyelaras tanpa peranan eksekutif akan menjadi sukar untuk dilaksanakan.
Mengulas mengenainya pula, Azmi menambah keputusan Datuk Seri Anwar itu sebenarnya bukan sahaja untuk memberi isyarat kepada Tun M tetapi juga untuk mempamirkan sokongan rakyat kepada Anwar.
“Ini kerana harapannya agar penyokong Pakatan Harapan akan dapat menyuarakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar sebagai PM dan ini sekali gus mempamirkan sokongan rakyat dan juga isyarat kepada Tun M atau Muhyiddin bahawa tiada ruang untuk mereka terajui Pakatan Harapan,” jelasnya. – MD