MEMBACA laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) tentang penipuan, pelanggaran terang-terangan undang-undang, pakatan sulit pemimpin berjawatan tinggi dan ketamakan membuatkan seseorang mahu menyembunyikan diri kerana terlalu malu, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad .
“Jutaan rakyat Malaysia mungkin tidak mengetahui atau menghargai apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi sama ada mereka tahu atau tidak, mereka akan terpaksa membayar harga yang tinggi di masa depan akibat daripada rompakan besar-besaran yang dilakukan pemimpin yang diberikan kepercayaan untuk memerintah negara ini,” kata Dr Mahathir dalam blognya.
“Apa yang berlaku sangat memalukan,” kata negarawan berusia 91 tahun itu.
Katanya, jumlah wang yang dirompak daripada 1Malaysia Development Bhd tak terjangkau dek akal.
“Malah dalam dolar AS pun, jumlahnya berjuta. Pembelian termasuklah hartanah bernilai jutaan dolar, sebuah jet, sebuah kapal layar mewah peribadi, pelbagai berlian bernilai puluhan juta dolar AS, menubuhkan sebuah syarikat perfileman dan penerbitan filem mencecah ratusan juta ringgit.
“Kemudian gaya hidup Jho Low dan Reza Aziz (anak tiri Perdana Menteri Najib Razak) bersama-sama dengan ramai pegawai 1MDB yang lain. Kerugian besar kerana berjudi di kasino di Las Vegas, terbang ke serata dunia menggunakan jet peribadi, membeli atau menyewa dengan wang curi, belayar dengan kapal mewah dan lain-lain.
“Ini adalah salah urus yang dahsyat dan besar dan kehilangan duit yang dipinjam 1MDB untuk melabur dalam pelaburan asing,” tambahnya.
Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) itu berkata yang saman terbaru DoJ mempunyai laporan mendalam yang mendedahkan secara terperinci dakwaan itu termasuklah perhubungan antara pihak terbabit dan bank yang terlibat.
Antara perincian tersebut ialah nombor akaun, tarikh sebenar wang dipindahkan daripada usaha sama 1MDB dan Petro Saudi ke syarikat palsu, kepada bank dan akhirnya masuk ke dalam akaun Malaysian Official 1 (MO1) di Ambank Malaysia, tambahnya.
“Juga dikatakan yang isteri MO1 menerima berlian dan barangan kemas bernilai ratusan juta Ringgit. Memandangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Komunikasi Strategik BN Rahman Dahlan mengesahkan yang MO1 ialah Najib, penafian isterinya samalah dengan penafian oleh Najib,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir juga mempersoalkan keikhlasan Ketua Hakim Negara Apandi Ali yang mengatakan tidak diberitahu tentang saman terbaru DoJ.
Apandi, kata Dr Mahathir, tidak dikenali sebagai orang yang memberikan kerjasama kepada rakan sejawat asingnya dalam siasatan 1MDB.
Merujuk kepada penyiasatan Switzerland, Dr Mahathir mendakwa yang Apandi enggan memenuhi permintaan Jabatan Peguam Negara Switzerland untuk mendapatkan lebih banyak maklumat walaupun berulang kali mengatakan dia akan memberikan kerjasama.
Dr Mahathir mempersoalkan sekiranya Apandi mengharapkan yang DoJ akan menutup kes itu selepas orang yang dituduh menafikan melakukan sebarang salah laku.
“Apandi, boleh melakukannya di Malaysia. Dia boleh mengabaikan undang-undang Malaysia. Dia boleh menghentikan polis daripada melakukan siasatan lanjut. Dia boleh berbohong tentang kandungan laporan yang dibuat institusi dan agensi Malaysia.
“Tetapi dia tidak boleh mengharapkan Amerika Syarikat bersengkongkol, termasuklah menyembunyikan bukti. Sudah tentu Malaysia tidak mempunyai kuasa di Amerika Syarikat,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir, yang menyertai pakatan pembangkang, berkata skala penggubahan wang haram itu “menyeramkan”.
“Tetapi di Malaysia, ketua hakim negara dan ketua polis negara terang-terangan mengatakan tidak wujud salah laku yang memerlukan siasatan dan pertuduhan jenayah yang boleh dilakukan.
“Cepat pula mereka menubuhkan suruhanjaya “bebas” untuk menyiasat dakwaan jenayah yang dilakukan 40 tahun lepas kerana diminta ahli parti, (tetapi) dakwaan serius DoJ diketepikan begitu sahaja,” kata Dr Mahathir.
DoJ memulakan tindakan untuk merampas aset bernilai AS$450 juta (RM2.3 bilion) yang dikatakan dibeli dengan wang yang dirompak daripada 1MDB yang membawa jumlah keseluruhan rompakan kepada AS$4.5 bilion.
Dalam saman rampasan harta sivil ketiga dan terbarunya itu, DoJ mahu merampas antara lain, kapal layar, Equanimity, bernilai AS$165 juta (RM704 juta) yang dimiliki Jho Low, dan hak ke atas filem komedi “Dumb and Dumber To” diterbitkan Red Granite, sebuah syarikat penerbitan filem milik bersama Riza Aziz, anak tiri Najib Razak.
Kenyataan Jabatan Perdana Menteri (PMO) mengenai saman terbaru itu lebih tertumpu kepada kebimbangan mereka yang DoJ gagal meminta kerjasama kerajaan Malaysia atau 1MDB. – TMI