Rafizi Ramli menyeru pengundi bandar yang “merungut” agar mendaftar sebagai ejen tempat mengundi (polling agent) dan ejen mengira undi (counting agent) atau PACA bagi membantu Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.
Pengasas Invoke Malaysia itu berharap pengundi yang “mahukan perubahan” tidak hanya merungut dan mempersoalkan kelemahan PH sahaja, sebaliknya bersama memainkan peranan mengalahkan Barisan Nasional (BN).
“Setiap kali saya berhubung dengan pengundi ‘atas pagar’ dan kelas pertengahan di bandar, kenyataan yang sering diulang adalah (PH) tidak boleh menang kecuali mengatasi (dakwaan penipuan) Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Rakyat terutama kelas pertengahan di bandar perlu berusaha lebih, bukan sekadar merungut dan bertanya tentang Kabinet bayangan PH.
(Soalan itu) hanya memberi peluru kepada BN tetapi pada masa sama mereka tidak berbuat apa-apa berhubung penipuan pilihanraya.”
Invoke hari ini melancarkan buku “Panduan Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi” (PACA) serta kempen merekrut PACA bagi PRU14.
Beliau berkata Invoke mula merekrut PACA sejak Januari lalu di 15 pejabatnya di seluruh negara namun penyertaan masih di tahap rendah.
“Dalam 6 bulan ini, Invoke hanya berjaya merekrut 978 orang, sedangkan jumlah yang diperlukan ialah 20,000 untuk menyelia pengundian di seluruh negara terutama di 50 kerusi Parlimen marginal,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata kesilapan pembangkang pada PRU 13 adalah tidak menyediakan PACA yang mencukupi terutama di kawasan sengit dan PACA yang tidak terlatih.
“Kita bakal mengulangi kesilapan sama iaitu tidak bersedia di lapangan,” katanya pada sidang media di pejabat Invoke Malaysia hari ini.
Tidak perlu mengundi
Naib presiden PKR itu mencadangkan agar jumlah penyokong pembangkang di kubu kuat mereka seperti di Pandan, Seputeh dan Petaling Jaya Utara tidak turun mengundi, sebaliknya menjadi PACA di kerusi marginal di kawasan separa bandar.
“Semua kerusi yang kita menang dengan majoriti sehingga 30,000 undi…BN tidak akan kacau kawasan ini. Jika tambah 2000 ‘pengundi hantu’ pun tidak akan kalah.
“Jika kita boleh dapat 500 daripada 15 kubu kuat PH, kita akan ada 6000 PACA, ini sangat membantu. Kita sudah kesuntukan masa,” katanya.
Di sidang media yang sama, Pengarah Pilihan Raya Amanah Dr Hatta Ramli pula berkata, pilihanraya bukan hanya tentang kempen dan “dedak” tetapi turut bersifat teknikal.
“Untuk menghadapinya, kita perlukan tenaga manusia yang banyak,” katanya yang berpengalaman sebagai pengarah pilihanraya ketika bersama PAS dulu.
Buku PACA boleh didapati di kedai atas talian Invoke: (https://shop.invokemalaysia.org)
Manakala pendaftaran sebagai PACA di http://bit.ly/JomJoinINVOKE. – FMT